NAM DINH, Vietnam – Beribu-ribu penyokong membanjiri stadium di Vietnam semalam ketika negara itu menyambung semula perlawanan bola sepak tanpa langkah penjarakan sosial atau langkah menghalang perhimpunan pada skala besar bagi mengekang penularan koronavirus.

Perlawanan liga profesional di Vietnam digantung pada Mac lalu namun dengan tiada kes kematian koronavirus dan hanya merekodkan 38 kes jangkitan virus itu, negara tersebut tergesa-gesa kembali kepada normal biasa bagi memulihkan ekonominya.

Stadium di Nam Dinh dipenuhi hampir 30,000 penonton semalam yang menyaksikan pasukan tuan rumah tumpas 1-2 kepada Viettel dalam salah satu daripada tiga perlawanan pembukaan Liga V, yang mana penyokong berdiri bersebelahan antara satu sama lain dengan beberapa orang memakai pelitup muka.

Cecair nyah kuman tangan juga boleh diperolehi dan suhu badan penyokong diambil dan mereka diminta memakai pelitup muka untuk memasuki stadium, lapor Reuters.

“Jika kami takut virus, kami tidak akan datang.

“Langkah yang diambil untuk mengekang virus itu adalah baik untuk memastikan kesihatan selamat, sebab itu semua orang seronok,” kata penyokong Viettel, Dinh Van Tam.

Vietnam mendapat pujian susulan pelaksanaan ujian koronavirus yang agresif selain pelaksanaan program kuarantin berpusat dan secara besar-besaran yang menyaksikan negara itu berada pada landasan yang betul untuk memulihkan ekonomi tidak lama lagi berbanding negara lain.

Keputusan Liga V untuk menyambung semula perlawanan liga sejajar dengan negara lain yang sedang bersedia untuk menyambung semula liga tanpa penonton, ketika perbincangan perubahan peraturan bagi mengendalikan perlawanan tertunggak dilakukan, melibakan persekitaran yang kurang meriah atau kebimbangan mengenai penyokong berkumpul di luar venue.

Liga di Sepanyol, England dan Itali bersedia untuk menyambung perlawanan pada bulan ini manakala Bundesliga telah menyambung perlawanan dalam stadium yang kosong.

Ketua pasukan bola sepak Vietnam, Que Ngoc Ha yang bermain untuk pasukan Viettel berkata, adalah sangat baik melihat sebuah stadium penuh dibanjiri penyokong.

“Saya tak kata ini untuk membandingkan dengan negara lain tetapi bola sepak Vietnam telah kembali selepas penularan Covid, ini menunjukkan bagaimana bagusnya Vietnam memerangi virus ini,” katanya kepada Reuters. – Agensi