Seorang ahli perniagaan pengedar tayar dituduh atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk dan membawa kecederaan kepada penjaja pasar malam di Mahkamah Kuala Kubu Bharu, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 29 MEI 2020

BARU-baru ini, negara kita digemparkan dengan beberapa kematian yang berpunca daripada pemandu mabuk. Malah, pada akhir bulan Mei sahaja, berlakunya empat kemalangan maut berturut-turut melibatkan pemandu mabuk.  Tahun ini sahaja, sudah terdapat 12 kes kemalangan jalan raya disebabkan pemandu mabuk, 7 daripadanya telah menyebabkan kematian. Selebihnya menyebabkan kecederaan dan kerosakan di kawasan sekeliling. 

Rakyat menerima berita ini dengan pelbagai reaksi. Terdapat masyarakat yang mengamuk. Ada yang mencadangkan hukuman mati. Ada juga pihak yang mengambil kesempatan untuk mempolitikkan isu ini. 

Taruh tepi emosi, persoalan penting yang harus dibincangkan ialah, bagaimana cara terbaik untuk kita tangani masalah pemandu mabuk ini?

 Undang-undang sedia ada tentang pemandu mabuk disifatkan longgar kerana piawaiannya yang bermasalah. Dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 seksyen 45 (g) menetapkan seseorang boleh dijatuhkan hukuman apabila jumlah alkohol didalam badan sampai pada 80 miligram dalam 100 ml darah atau 0.08% piawaian BAC (Blood Alcohol Concentration) . Namun begitu, saranan yang dinyatakan dibawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah 0.05%. Hal ini kerana pada takat 0.05% sahaja pun sudah mampu menyebabkan seseorang itu mabuk, hilang kawalan diri dan hilang ingatan.

Justeru, pindaan definisi mabuk dengan mengurangkan had maksimum kandungan alkohol dalam darah perlu dilakukan. Daripada sebuah kajian bertajuk “Study of the Effects of Alcohol on Drivers and Driving Performance on Straight Road” menunjukkan bahawa semakin tinggi kadar BAC semakin tinggi risiko kemalangan boleh berlaku. Antara negara yang meletakkan BAC yang rendah seperti di negara Sweden iaitu pada kadar 0.02%, Amerika Syarikat, Australia dan Korea pada kadar 0.05%. Amerika Syarika.

Pada awal pelaksanaan di 12 negeri di sana, didapati bahawa penurunan kes kemalangan pemandu mabuk sebanyak 20%, terutama pada golongan remaja. Kita juga boleh lihat kejayaan Sweden yang juga mendapat peratusan pengurangan terhadap kes kemalangan pemandu mabuk terutamanya daripada kalangan remaja. Hal ini membuktikan, penurunan had maksimum kandungan alkohol dalam darah berkesan dalam menangani kes kemalangan oleh pemandu mabuk.

Selain itu, terdapat arak yang dijual dengan murah dan mempunyai kandungan alkohol yang tinggi. Buat masa ini, masih terdapat minuman keras keluaran syarikat pemprosesan tempatan yang dijual pada harga serendah antara RM5 dan RM6 sebotol 125ml dengan kandungan 40% alkohol di pasaran. 

Solusinya adalah melalui meningkatkan cukai arak di Malaysia. Sekarang, cukai alkohol sebanyak 15% dikenakan di Malaysia. Tindakan untuk meningkatkan cukai arak ini dapat meningkatkan harga penjualan arak seterusnya menyebabkan pengurangan jumlah pembelian arak. Berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pengguna, termasuk peminum tegar dan orang muda, peka terhadap perubahan harga minuman.

Meningkatkan harga minuman beralkohol adalah salah satu intervensi yang paling berkesan untuk mengurangkan penggunaan alkohol. Pada 2010, kajian ahli penyelidik Wagenaar, Tobler, dan Komro, dalam American Journal of Public Health, menyatakan bahawa tindakan menggandakan cukai alkohol akan mengurangkan kematian yang berkaitan dengan alkohol sebanyak 35%, kematian akibat kemalangan jalan raya sebanyak 11%, keganasan sebanyak 2%, dan jenayah sebanyak 1.4%. 

Dalam pada itu, negara kita juga tidak menetapkan masa atau tempoh untuk menjual arak. Malah, terdapat kedai-kedai serbaneka yang menjual arak 24 jam sehari, 7 hari seminggu! Hal Ini akan memudahkan lagi seseorang untuk mendapatkan arak. Tahukah anda, sebahagian besar kemalangan yang berlaku adalah pada waktu lewat malam? Kita tidak mempunyai mekanisme kawalan tempoh jualan arak yang dibenarkan.

Oleh itu, tempoh masa untuk menjual arak sewajarnya dihadkan. Contohnya seperti negara New Zealand, mereka menetapkan tempoh penjualan arak bermula pada 7 pagi sehingga 11 malam di bawah Akta Penjualan dan Pembekalan Alkohol 2012 New Zealand. Hal ini akan menyukarkan seseorang untuk mendapatkan arak pada waktu malam. Hasilnya, berlakunya penurunan kes kemalangan pemandu mabuk sebanyak 18%. Terdapat banyak lagi negara yang melaksanakan mekanisme yang sama dan mencapai kejayaan seperti Belanda dan negeri California.

Perkara-perkara ini haruslah dijalankan seiring dengan meningkatkan hukuman, memperketatkan penguatkuasaan, dan menambah baik pendidikan. Meningkatkan hukuman sahaja tidak akan menyelesaikan masalah. Hal ini kerana, pesalah lebih takut untuk buat kesalahan jika risiko ditangkap lebih tinggi, berbanding hukuman yang lebih berat.

Akhir kata, kita semua setuju untuk meningkatkan hukuman bagi pesalah pemandu mabuk ini. Tetapi, perspektif lain yang perlu diketengahkan juga ialah polisi dan piawaian semasa. Polisi yang sepatutnya dijalankan haruslah bersifat menyeluruh, proaktif dan reaktif, serta menangani masalah ini daripada punca.  Adakah kita ingin menunggu lebih ramai yang menjadi mangsa, barulah kita ingin bertindak? Kita perlu lakukan perubahan secepat mungkin demi kebajikan dan nyawa generasi masa akan datang.

Oleh: Muhammad Haykal Zainal Rashid, Muhammad Waseem bin Mohamed Anwar & ‘Abdullah ‘Ulwan bin Ammar
Majlis Orator Al-Amin (MORAL)

1 Komen

  1. Bergitu mudah bagi sebuah parti chauvinist MEMPROMOSI dan MEMBUDAYAKAN budaya MABUK dikalangan rakyat melalui pesta2 OKTOBERFEST yang mereka dianjurkan!

    Tetapi cukup susah bagi pihak Polis untuk mengawal keselamatan anggotanya dan juga orang awam! PEMBUNUH2 MABUK nampaknya sedang berluasluasa dan menguasai jalan2raya! Mereka tidak teragak2 untuk MEMBUNUH sesiapa sahaja!

    Hati2!!!

Comments are closed.