Petronas
iWan Zulkiflee Wan Ariffin. foto HAZROL ZAINAL, 24 JUN 2019.

KUALA LUMPUR – Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dilantik sebagai Pengerusi Malaysia Airlines Berhad (MAB), berkuatkuasa 1 Julai ini.

Tempat Wan Zulkiflee di syarikat petroleum negara itu pula diisi Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz yang merupakan Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Petronas.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan perlantikan kedua-dua jawatan itu berkata, dalam suasana ekonomi yang mencabar sekarang terdapat beberapa syarikat
milik kerajaan yang perlu diperkukuhkan lagi bagi menghadapi norma dunia yang baharu.

“Kerajaan dalam hal ini meneruskan usaha mengkaji semula kepimpinan syarikat-syarikat milik kerajaan bagi memastikan penyelarasan dasar dan pencapaian objektif sosioekonomi negara,” katanya dalam kenyataan.

Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz

Perdana Menteri yang mengucapkan terima kasih di atas sumbangan Wan Zulkiflee selama 37 tahun bersama Petronas berkata, beliau telah berjaya mengekalkan syarikat itu sebagai salah sebuah syarikat Kerajaan yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan ditadbir dengan cemerlang.

Menurutnya, Petronas merupakan satu-satunya syarikat kerajaan yang mempunyai penilaian kredit antarabangsa yang baik dan masih tersenarai dalam Fortune Global 500.

Muhyiddin percaya di bawah kepimpinan Wan Zulkiflee, MAB dapat distruktur semula dan terus berkembang sebagai syarikat penerbangan nasional yang berdaya tahan dan mampan serta mempunyai tadbir urus yang baik.

Sementara itu, beliau berkata, industri minyak dan gas kini melalui cabaran yang hebat dengan ketidaktentuan harga minyak dan ekonomi global yang merundum.

“Saya percaya dengan kemahiran dan pengalaman yang dimiliki oleh YM Tengku Muhammad Taufik, beliau bersama Pengerusi sedia ada, YBhg. Datuk Ahmad Nizam Salleh, akan dapat memimpin Petronas ke mercu kecemerlangan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tengok balik rekod2 safety @keselamatan Petronas dibawah Wan Zul? Bandingkan rekod2 tersebut semasa era Tan Sri Azizan, Hassan Merican, Shamsul! Biarlah statistik2 tersebut berkata2!

    Walaupun tak dapat apa2 faedah, kami orang2 kampung sayangkan kedua2 Petronas dan juga MAS!

Comments are closed.