Anand Stanley

KUALA LUMPUR – Airbus mengumumkan Anand Stanley sebagai Presiden Airbus Asia Pasifik, berkuat kuasa 1 Julai, menggantikan Patrick de Castelbajac, yang akan meninggalkan syarikat itu.

Dalam kenyataan, Airbus berkata Anand, yang akan berpusat di Singapura, akan menerajui strategi dan kedudukan masa depan Airbus serta bahagiannya di rantau ini.

Anand Stanley menyertai Airbus pada 2018 sebagai Presiden dan Pengarah Urusan Airbus India, dan beliau telah memantau perkembangan perniagaan Airbus serta memacu kedudukan syarikat dengan pihak berkepentingan utama, termasuklah pelanggan, agensi kerajaan dan rakan industri.

Ketua Pegawai Komersial dan Ketua Antarabangsa Airbus Christian Scherer berkata Anand telah membawa banyak pengalaman ke Airbus dan menguruskan operasi syarikat di India dengan hasil yang amat positif.

“Rekod prestasinya menjadikan beliau pilihan yang sesuai untuk menerajui Airbus dalam pasaran Asia Pasifik. Kami tahu kami boleh bergantung kepada Anand untuk memberi tumpuan kepada menyokong pelanggan kami dalam tempoh amat mencabar ini, selain terus membina kedudukan kami sebagai rakan utama untuk sektor aeroangkasa di rantau ini,” katanya.- BERNAMA