KUALA LUMPUR – Sekitar tahun 70an hingga ke tahun 80an, sebut sahaja nama Tuan Abd. Latiff Hussain, ia sudah cukup membuatkan banduan-banduan di penjara cemas dan ‘ketar lutut’.

Apa tidaknya, selain menjalankan tugas rutinnya sebagai pegawai penjara, Abd. Latiff menjalankan DUA lagi amanah besar yang bukan semua pegawai penjara boleh dan sanggup memikulnya.

Pertama, tukang sebat dan kedua – tukang gantung!

Sehingga kini, tiada siapa yang mengetahui berapakah jumlah sebenar banduan yang telah menjalani hukuman mati di tangan beliau.

Namun sebuah akhbar Australia, The Sun Herald pada tahun 1986 mendakwa, jumlah banduan yang mati di tangan Abd. Latiff mencecah ‘ratusan’ orang!

Malah dua rakyat Australia, Brain Geoffrey Chamber dan Kevin Barlow yang menjadi rakyat asing pertama dihukum gantung di penjara negara ini pada Subuh 7 Julai 1986 kerana mengedar dadah di Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pulau Pinang, juga dikatakan telah digantung sampai mati oleh Abd. Latiff sendiri.

Tak banyak maklumat mengenai Abd. Latiff yang diketahui umum.

Beliau bersara pada tahun 1995 dengan jawatan terakhirnya adalah Pengarah Penjara Marang.

Menurut anak keduanya, Sazale Abd. Latiff, 47, ayahnya banyak berkongsi kisah pengalaman lalu ketika ‘bertugas’ dengan Jabatan Penjara.

“Apa yang sering bapa saya ungkapkan adalah, beliau melakukan ‘kerja’ itu kerana ia adalah amanah yang perlu dilunaskan…lagipun ke semua banduan yang digantungnya telah diberi peluang membela diri di mahkamah serta telah melalui semua proses undang-undang yang diperuntukkan kepada mereka.

“Kalau bukan pegawai penjara seperti ayah saya yang melakukannya, siapa lagi?,” kata Sazale secara eksklusif sewaktu dihubungi Malaysia Gazette semalam.

Menurut Sazale, selepas bersara daripada Jabatan Penjara, bapanya banyak melibatkan diri dengan kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan.

Untuk rekod, pada tahun 1994, Abd. Latiff telah dipilih untuk menjadi Pengetua Asrama Kasih (ASKA), Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), Selangor sebelum menamatkan perkhidmatannya kira-kira 17 tahun kemudian.

Walaupun terkenal dengan imej garang dan tegas sewaktu di Jabatan Penjara, namun di ASKA beliau telah menunjukkan ‘sisi lain’ hingga cukup disayangi ribuan penghuni asrama tersebut.

“Di ASKA sifat sebenar beliau terserlah, walaupun ramai kata bapa saya garang waktu jadi pegawai penjara, di asrama itu beliau cukup disayangi biarpun sifat ketegasannya khususnya dalam bab disiplin tidak pernah berubah.

“Asrama itu menempatkan ramai anak-anak yatim dan mereka yang termasuk dalam golongan susah…ramai yang kini berjaya melanjutkan pelajaran sampai ke menara gading, mereka ini bila ada kelapangan akan cari ayah saya walaupun dah lama bersara daripada menjadi pengetua di situ,” kata Sazale.

Dalam pada itu, Sazale berkata, kecintaan bapanya terhadap dunia kepenjaraan tidak pernah pudar walaupun telah lama ‘menanggalkan’ uniform kesayangannya.

Malah, katanya, walaupun pernah diserang angin ahmar hingga menjejaskan pertuturannya, ayahnya akan kembali ‘bersemangat’ bila diajak berbual mengenai profesion lamanya itu.

“Semalam sewaktu menikmati jamuan tengah hari bersama beliau, kami berdua sempat berbual mengenai Penjara Pudu sebelum saya keluar ke ibu kota.

“Takdir menentukan, saya kemudian mendapat panggilan telefon yang bapa saya rebah dan disahkan meninggal dunia kira-kira pukul tiga petang dalam usia 80 tahun,” katanya sebak.

Menurut Sazale, sehingga kini jenazah masih di Hospital Kuala Kubu dan bapanya dijangka dibawa serta dikebumikan di Pulau Pinang selepas dibenarkan berbuat demikian.

Selamat jalan ‘Hangman Latiff’.

Sesungguhnya jasa dan sumbangan besar beliau kepada Jabatan Penjara dan bidang kebajikan hanya Allah sahaja dapat membalasnya.

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat.

AL FATIHAH – Malaysia Gazette