Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bersiap sedia membuat kerja disinfeksi pada Ops Sanitasi Awam susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak Covid-19 di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Selayang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 15 APRIL 2020

PUTRAJAYA – Satu kluster baharu kes Covid-19 dikesan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu itu membabitkan seorang kakitangan di IPD berkenaan.

“Hari ini, kita ada satu kes kluster baharu di Gombak dan dengan pertambahan satu kluster baharu ini menjadikan jumlah kes positif adalah lima kes di Gombak,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ditanya mengulas lanjut mengenai kluster baharu yang dikesan hari ini, beliau berkata, ia dikenalpasti oleh pasukan kesihatan adalah melibatkan seorang kakitangan di IPD berkenaan.

“Jadi di IPD (Gombak) ada yang terlibat, mungkin ini faktor yang kita nak laksanakan iaitu proses saringan Covid-19 secara berkala, kepada semua di IPD berkenaan dan sebagainya.

“Ini menjadi perhatian kita sekarang dan yang penting adalah apabila kita dapat mengesan kes, kita akan terus menjalankan aktiviti kesihatan awam iaitu mengenalpasti mereka yang terlibat (kontak rapat).

“Mereka yang positif itu akan diasingkan di hospital dan ada juga kontak rapat kita akan asingkan dan kuarantin mereka..itu salah satu tindakan kita sekiranya kes positif dikesan di situ,” ujarnya lagi.

Menurut Noor Hisham, pihaknya terus menyarankan masyarakat supaya menyedari kehadiran virus Covid-19 di dalam komuniti dan mematuhi SOP yang ditetapkan untuk mengelak jangkitannya dan paling penting mengamalkan penjarakan sosial.

“Kajian terbukti kita boleh elak risiko jangkitan lebih 60 peratus hanya dengan menggunakan penjarakan sosial dan kaedah ini akan digunapakai serta ditambah dengan pelitup muka dan kerap cuci tangan,” tegasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast