Seorang penumpang menggunakan Kiosk Tanpa Sentuhan AirAsia di klia2.

KUALA LUMPUR – AirAsia menyambut baik pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), berkuatkuasa bermula 10 Jun ini untuk menjana kembali ekonomi Malaysia.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, negara-negara di seluruh dunia telah membenarkan perjalanan domestik dan membuka kembali pintu masuk antarabangsa secara beransur-ansur.

Ini merupakan pengiktirafan bahawa pengangkutan udara adalah penting untuk menjana kembali aktiviti ekonomi.

Menurutnya, pembentukan dan perbincangan mengenai “perjalanan terkawal” dan “laluan hijau” dengan negara-negara ekonomi utama yang mempunyai kadar jangkitan rendah dan sistem pencegahan pandemik yang berkesan adalah langkah yang tepat.

Katanya, sektor penerbangan dan pelancongan menyumbang sekitar 4% dan 10% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Malah, lebih 65 juta pekerjaan di seluruh dunia disokong oleh sektor penerbangan, sementara 1 daripada 10 pekerjaan di seluruh dunia disumbang oleh sektor pelancongan.

”Perjalanan udara adalah salah satu kaedah perjalanan yang paling selamat. Menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), risiko jangkitan di dalam pesawat terbukti amat rendah kerana pesawat dilengkapi dengan ciri-ciri untuk mengurangkan risiko jangkitan yang telah terbukti amat rendah dalam pesawat.

”Kedudukan penumpang yang menghadap ke hadapan tempat duduk berfungsi sebagai penghadang, sementara udara di dalam kabin ditapis sepenuhnya dan diperbaharui pada setiap 2-3 minit melalui penapis HEPA bergred hospital, untuk memastikan udara sentiasa bersih. Tambahan pula, peningkatan keselamatan-bio yang meliputi seluruh perjalanan penumpang, akan terus mengurangkan risiko jangkitan di dalam pesawat,” kata syarikat penerbangan tambang murah itu.

AirAsia menambah, kesihatan dan kesejahteraan para penumpang adalah keutamaannya, selain mematuhi nasihat dan peraturan daripada kerajaan tempatan dan pihak berkuasa kesihatan, syarikat ini telah telah melaksanakan prosedur tanpa sentuhan sepanjang perjalana.

Jelasnya, langkah-langkah keselamatan baharu serta kemudahan ini untuk memastikan keselamatan semua. – MalaysiaGazette