Seorang penunggang motosikal maut setelah terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 58, Jalan Jementah - Muar kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

ALOR SETAR – Dua mayat ditemukan dalam sebuah kereta yang dipercayai terjunam ke dalam sungai di Kampung Lana Bulu, Megat Dewa dekat Jitra, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Mohd Ismail Ibrahim berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada pukul 8.30 malam yang ternampak seakan-akan tayar kereta di dalam sungai berkenaan.

“Hasil siasatan telah menemui sebuah kereta jenis Proton Saga FLX yang disyaki telah terbabas ke dalam sungai. Turut ditemui satu mayat lelaki dan satu mayat wanita yang identitinya masih belum dapat dikenal pasti lagi.

“Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengambil masa hampir tiga jam untuk mengeluarkan kereta berkenaan. Kedua-dua mayat telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.37 malam sebelum tiba kira-kira 20 minit kemudian.

“Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra bersama Pasukan Bomba Sukarela telah menaikkan kereta berkenaan menggunakan cara menunda. Mayat pertama berjaya dikeluarkan pada pukul 12.45 tengah malam manakala mayat kedua pada pukul 1.20 pagi sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya.

— BERNAMA