KUALA LUMPUR – Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) namun berharap inisiatif-inisiatif yang diwujudkan dapat dinikmati oleh sektor pelancongan – sektor paling terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Presiden MATA, Datuk Mohd Khalid Harun berkata, melalui pengalaman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), pihak institusi perbankan mahupun agensi kerajaan yang terbabit tidak begitu berkeyakinan untuk memberikan pinjaman mudah kerana menurut mereka sektor pelancongan adalah sangat berisiko ketika ini.

Begitu juga syarikat pemberi pinjaman juga hanya memberikan moratorium selama tiga bulan sahaja – sedangkan sehingga kini bas-bas pelancongan tidak boleh bergerak.

Menurut beliau, sektor Pelancongan adalah yang paling terjejas sepanjang tempoh PKP/B yang mana setiap empat daripada 10 perkerjaan dalam sektor pelancongan menaggung kesan daripadanya.

”Justeru, kami menyeru pihak Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayan (MOTAC) sudi untuk menjadi orang tengah didalam mempermudahkan perbincangan dengan pihak-pihak berkaitan agar hasrat kerajaan untuk membantu
pengusaha pelancongan mencapai matlamatnya dan seterusnya menyelamatkan industri ini dari turut menjadi mangsa Covid-19.

”MOTAC disarankan untuk membuka ‘one stop center’ di pejabat MOTAC dengan mengumpulkan kesemua penyedia dana seperti BSN, TEKUN, MARA, PUNB, LHDN dan lain-lain agar pemain industri dapat berjumpa dan berbincang
supaya urusan dapat dimudahkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Khalid berkata, MATA sangat berterima kasih kepada kerajaan kerana cakna dalam menyediakan Penjana yang boleh diguna pakai dalam sektor pelancongan.

Antaranya;
1. RM1 bilion kemudahan pembiayaan sektor pelancongan (bermula Julai 2020)
2. RM400 juta dana pembiayaan mikrokredit melalui TEKUN dan BSN
3. RM500 juta pembiayaan mudah melalui PUNB dan MARA bagi syarikat
bumiputera
4. RM700 juta geran dan pinjaman bagi meningkatkan penggunaan
teknikal dan digital PKS
5. Melanjutkan tempoh subsidi upah kepada pekerja sektor pelancongan
6. Pengecualian Cukai pelancongan dan pelanjutan langkah cukai lain hingga 30 Jun 2021
7.Pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 dilanjutkan hingga Disember 2021
8. Penangguhan bayaran ansuran ke atas anggaran cukai dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020
9. Potongan cukai khas sebanyak 30% bagi pengurangan sewa premis perniagaan sehingga 30 September 2020

Dalam kenyataan, MATA juga menyambut baik pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang membenarkan rentas negeri bermula 10 Jun ini, sekali gus membuka peluang pelancongan domestik bermula dengan
mengamalkan kebiasaan baharu. – MalaysiaGazette