12 biji telefon bimbit yang dirampas dari suspek lelaki tempatan berusia 40 tahun yang dicuri daripada sebuah premis di dalam pasaraya terkemuka di Kelana Jaya semalam.Foto Ihsan:IPD PJ.

PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki warga tempatan yang mencuri dan menyimpan sejumlah telefon bimbit pelbagai jenama dari sebuah pasar raya terkemuka di Petaling Jaya akhirnya terbongkar.

Ini kerana, kegiatan jenayah itu berjaya dihidu pihak berkuasa sebelum berjaya ditangkap di kediamannya di Lembah Subang pada semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, sekitar jam 4.30 petang semalam, sepasukan polis dari ibu pejabatnya telah membuat serbuan di sebuah rumah di Jalan PJU 1A/38 Lembah Subang.

“Hasil pemeriksaan berjaya menahan seorang suspek lelaki warga tempatan berusia 40 tahun.

“Pengakuan awal suspek kepada polis mendapati dia telah melakukan jenayah curi telefon bimbit pelbagai jenama di sebuah kedai di dalam Pasaraya Giant Kelana Jaya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Suspek lelaki tempatan 40 tahun yang dicekup di kediamannya di Lembah Subang selepas mengaku mencuri telefon bimbit dari sebuah pasaraya terkemuka di Kelana Jaya semalam.Foto Ihsan: IPD PJ

Tambah Nik Ezanee, hasil pemeriksaan lanjut polis di kediaman itu disyaki tempat tinggal suspek menemui pelbagai jenis telefon bimbit berjenama.

“Kita berjaya merampas lebih kurang 12 buah telefon bimbit pelbagai jenama yang ditunjukkan sendiri tempat simpanannya oleh suspek berkenaan di rumah itu.

“Malahan siasatan lanjut ke atas suspek mendapati dia memiliki rekod lampau membabitkan 12 kes dadah dan lapan kes kecurian sebelum ini.

Antara barangan yang dirampas untuk membantu siasatan selain 12 buah telefon bimbit adalah satu skrin Iphone 7, sebuah Power Bank, satu seluar Jeans Wrangler dan sehelai Baju kemeja T berjenama Diadora biru, satu topi hitam tertera Supreme, sepasang kasut kuning kelabu berjenama Yonex, satu beg galas hitam berjenama HP, dan pelitup muka berwarna biru,” ujarnya.

Antara barang rampasan yang dicuri suspek tempatan berusia 40 tahun dari sebuah pasaraya Kelana Jaya semalam sebelum dicekup polis PJ. Foto Ihsan: IPD PJ.

Nik Ezanee menegaskan, suspek direman selama empat hari dan disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

“Siasatan lanjut polis masih diteruskan ke atas suspek itu untuk melihat penglibatannya dalam kes-kes kecurian yang lain di daerah Petaling Jaya,” tegas beliau.-MalaysiaGazette