Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai agar tidak menggunakan tiga jenis produk kosmetik yang dijual dipasaran kerana dikesan mengandungi racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga jenis produk kosmetik itu ialah Glow Skin White – Brightening Cream, Glow Skin White – Sun Care dan Rzac Beauty Creme 2.

Menurut Noor Hisham, kesemua produk tersebut dikesan mengandungi merkuri dan notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM.

“Oleh itu, produk-produk kosmetik tersebut tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, merkuri adalah bahan dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan.

Ia juga katanya, boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

Malah tambahnya, ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan selain, boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

“Penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.

“Penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” tegasnya.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya, kata Noor Hisham.

Justeru, orang ramai yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Mereka juga digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store, katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.