GENEVA – Kes jangkitan koronavirus baharu meningkat dengan jumlah terbesar setiap hari, menunjukkan wabak ini semakin teruk dan belum sampai kepada kemuncaknya di Amerika tengah, kata Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO).
Berikutan itu, WHO mendesak supaya negara-negara terus berusaha menangani penularan virus berkenaan.
“Lebih dari enam bulan berlakunya wabak ini, ini bukan waktunya bagi mana-mana negara untuk berasa lega,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus kepada taklimat dalam talian.
Lebih daripada 136,000 kes baharu dilaporkan di seluruh dunia pada hari Ahad – kes paling banyak dalam satu hari setakat ini, katanya.
Hampir 75% daripadanya dilaporkan dari 10 negara, kebanyakannya di Amerika dan Asia Selatan.
Menjawab pertanyaan mengenai China, pakar darurat utama WHO, Dr. Mike Ryan, mengatakan kajian retrospektif tentang bagaimana wabak ini dapat ditangani, beliau berkata: “Kita harus fokus pada apa yang kita lakukan hari ini untuk mencegah puncak kedua”.
Ryan juga mengatakan jangkitan di negara-negara Amerika tengah termasuk Guatemala masih meningkat dan wabak semakin kompleks.
Brazil kini menjadi salah satu punca utama wabak ini, dengan jumlah kes kedua tertinggu, hanya di belakang Amerika Syarikat dengan jumlah kematian yang minggu lalu melepasi Itali. – MalaysiaGazette