Peningkatan aliran trafik dijangka berlaku semasa pelaksanaan PKPP mulai esok.

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan kenderaan meningkat antara 10 hingga 15% apabila Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula esok.

Pengendali lebuh raya terbesar itu berkata, PLUS telah merekodkan kadar peningkatan jumlah trafik harian yang baik sejak 4 Mei apabila kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan sedikit kelonggaran bagi pergerakan rentas negeri untuk bekerja dan pembukaan beberapa sektor ekonomi, sekaligus menyaksikan peningkatan jumlah kenderaan komersil bagi urusan pengangkutan barangan keperluan.

Bermula pada tarikh tersebut, jumlah trafik harian di lebuhraya PLUS telah menjangkau lebih 1 juta kenderaan pada hari bekerja biasa dan terus meningkat dengan stabil.

Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, kadar trafik harian PLUS adalah sebanyak 1.6 juta kenderaan sehari dan jumlah tersebut meningkat kepada 2 juta sehari pada musim-musim perayaan.

Apabila Fasa Pertama PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu, kadar trafik PLUS telah mencatat penurunan yang drastik.

Namun begitu, ia meningkat secara stabil bermula 4 Mei dan terus meningkat pada minggu terakhir Ramadan kepada lebih 1 juta kenderaan sehari.

Jumlah tersebut walau bagaimanapun berkurangan apabila lebih 95% memilih untuk tidak melakukan perjalanan ketika sambutan Aidilfitri.

”Dengan kenaikan yang stabil sejak 1 Jun lalu, PLUS menjangkakan jumlah trafik akan melonjak di antara 10% hingga 15% setiap hari, bermula pada minggu pertama PKPP pada 12, 13 and 14 Jun ini,” kata Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail.

Beliau memberitahu, di bawah PKPP, kebanyakan gerai makanan (termasuk tempat makan) di R&R akan beroperasi mulai 15 Jun dan pelanggan berpeluang untuk menjamu selera di R&R sambil mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang telah ditetapkan.

Semua perkhidmatan Food Truck akan turut beroperasi di R&R dan hentian sebelah terpilih mulai 15 Jun.

Bagaimanapun, kemudahan bersolat di surau masih lagi tidak dibuka sehingga satu tarikh yang akan diumumkan. – MalaysiaGazette