KUALA LUMPUR – Kerajaan menegur tindakan Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) sewenang-wenangnya mengubah dasar dan peraturan yang ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setiap perubahan perlu memohon atau mendapatkan kebenaran dari Majlis Keselamatan Negara (MKN), bukan membuat keputusan sendiri untuk meminda prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Dia tak ada nak ubah dasar dan peraturan ditetapkan kerajaan, bila (SOP) ditetapkan perlu ada penjarakan sosial, mereka tak boleh sewenang-wenangnya ubah.
“Kalau nak buat perubahan, perlu mohon kepada MKN. Bukan tiba-tiba umum apa yang mereka nak buat.
“Kita faham bila penjarakan sosial dilaksanakan, ini menyebabkan mereka rugi sebab bilangan penumpang kecil dan terhad,” katanya pada sidang media khas Covid-19 di Putrajaya hari ini.
Artikel berkaitan: Tiada lagi penjarakan sosial di stesen, tren RapidKL mulai esok
Beliau menegur tindakan Rapid Rail selaku pengendali kepada perkhidmatan rel di bawah jenama Rapid KL meminda SOP penjarakan sosial dalam pengangkutan LRT, MRT dan Monorel.
Menurut Ismail Sabri, kerajaan memahami banyak syarikat termasuk penerbangan merosot pendapatannya akibat dari pelaksanaan PKP dan perlu mematuhi SOP penjarakan sosial.
Katanya, setiap pengangkutan perlu mengambil 66 peratus sahaja penumpang sebagai langkah keselamatan orang ramai yang menggunakan pengangkutan awam. – MalaysiaGazette