KUALA LUMPUR – Berikutan berakhirnya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai jam 12 tengah malam ini, polis akan menggunakan pelan tindakan baharu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula esok.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, sepanjang PKPP ini, semua sekatan jalan raya rentas negeri ditarik balik, kecuali Ops Benteng dan sekatan untuk memantau jenayah lain yang akan diteruskan.
“PKPB akan berakhir hari ini, dan polis akan gunakan pelan tindakan baharu sepanjang PKPP yang bermula esok hingga 31 Ogos ini.
“Dengan itu juga, hari ini merupakan hari akhir sekatan jalan raya. Esok dibenarkan rentas negeri.
“Selepas ini, polis, anggota tentera, anggota Rela akan menumpukan pematuhan SOP di premis awam seperti pusat beli belah dan pasar malam, manakala pasukan khas pematuhan PKBB bergerak di daerah setiap negeri,” katanya dalam sidang media khas Covid-19 di Putrajaya, hari ini.
Pada masa sama, Ismail Sabri turut mengumumkan beberapa keputusan Mesyuarat Menteri-Menteri pagi ini, termasuk membenarkan surau di kompleks beli belah dan kawasan Rehat dan Rawat (RnR) di seluruh negara dibuka berkuatkuasa esok.
Turut dibenarkan mulai esok ialah operasi restoran, kedai makan, kedai 24 jam, kedai runcit dan kedai serbaneka sehingga jam 12 tengah malam.
“Zoo Negara dan zoo lain di seluruh negara juga dibenarkan beroperasi mulai 10 Jun ini.
“Semua yang dibenarkan beroperasi ini tetap tertakluk kepada SOP Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu penjarakan sosial dan amalkan disiplin diri.
Namun begitu, katanya, pusat muzik, galeri seni dan Balai Seni Lukis Negara belum termasuk dalam kategori dibenarkan.
“Bagaimanapun, kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan akan pertimbangkan permohonannya selepas meneliti SOP yang akan dibentangkan, sekurang-kurangnya Khamis ini,” katanya.