Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Ketiadaan kes bagi penularan dalam negara membabitkan rakyat Malaysia hari ini merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, kejayaan itu dicapai setelah pelbagai usaha
dilaksanakan bersama oleh semua pihak dengan menggunakan pendekatan seluruh jentera kerajaan dan masyarakat.

“KKM telah menggunakan maklumat terbaharu daripada jumlah kes-kes harian penularan dalam negara dalam kalangan warganegara dan membandingkannya dengan graf pemodelan Covid-19 seperti yang telah diramal oleh Institut Kesihatan Negara (NIH), KKM.  Didapati ianya adalah sejajar dengan unjuran kes harian dalam pemodelan tersebut,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di kementeriannya hari ini.

Noor Hisham berkata, ia sememangnya menggambarkan impak positif tindakan yang telah diambil oleh kerajaan serta pematuhan rakyat Malaysia terhadap SOP (Prosedur Operasi Standard) dan saranan yang diberikan kerajaan.

KKM juga berterima kasih kepada rakyat Malaysia di atas kerjasama dengan pihak Kerajaan bagi pencapaian ini, dalam usaha untuk sama-sama membendung penularan jangkitan Covid-19.

“Namun begitu, masyarakat harus kekal waspada dan terus patuh kepada SOP serta saranan yang ditetapkan bagi memastikan tiada peningkatan kes Covid-19 di kalangan masyarakat setempat.

“Menuju kepada penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan
Pemulihan (PKPP) yang akan bermula pada 10 Jun ini
adalah ujian sebenar terhadap tahap disiplin kendiri dan sosial
dalam kalangan masyarakat, dengan harapan kita dapat terus
memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di Malaysia” tambah beliau. – MalaysiaGazette