Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan saringan ke atas penduduk berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di sekitar kawasan Jalan Pudu, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 MEI 2020.

PUTRAJAYA – Sebanyak dua kes positif Covid-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam hingga 12 tengahari ini, bilangan kes terendah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, daripada dua kes itu, satu daripadanya adalah daripada kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Tiada kes penularan dalam negara dicatatkan di kalangan
warganegara Malaysia.

“Satu kes penularan di dalam negara yang dicatatkan adalah merupakan seorang bukan warganegara di mana kes ini dilaporkan di Kuching, Sarawak (iaitu kes saringan kepada kontak rapat kes 8303),” katanya dalam sidang media harian di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Noor Hisham berkata, kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,338 kes sementara jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 1,206 kes.

Dalam pada itu, terdapat 39 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 7,014 kes, katanya.

Jumlah kematian direkodkan meningkat satu kes hari ini.

Menurut Noor Hisham, mangsa adalah lelaki warganegara Malaysia berumur 61 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan penyakit buah pinggang.

“Beliau mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling. Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh pada 15 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 10 Jun 2020 jam 7.03 pagi,” kata Noor Hisham.

Kes kematian kini berada pada 118 kes. – MalaysiaGazette