Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, ACP Muhammad Yazid Muhammad Yew. foto FAREEZ FADZIL, 18 MEI 2020

SHAH ALAM – Pengambilan minuman beralkohol atau arak bukan satu kesalahan bagi orang bukan Islam di negara ini, khususnya apabila diminum di dalam rumah atau premis peribadi.

Jurucakap Polis Kontinjen Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew sebaliknya menegaskan, pengambilan arak menjadi satu kesalahan apabila ia diambil ketika berada di tempat awam seperti jalan raya.

“Minum arak tidak menjadi satu kesalahan, tapi apabila mabuk di tempat awam, ia menjadi satu kesalahan dan apabila dia membawa kenderaan dalam keadaan masuk, menjadikan satu kesalahan.

“Sebab itu kita kembali kepada masyarakat, mereka perlu ada disiplin diri, kita perlu ada kesedaran diri.

“Mana-mana rakan atau ahli keluarga yang minum bersama, perlu memperingatkan di antara satu sama lain,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor, hari ini.

Beliau juga mengingatkan orang ramai agar menaiki kenderaan awam untuk pulang ke rumah seperti Grab, MyCar dan sebagai sekiranya mereka meminum arak di tempat awam.

“Jangan memandu ketika mabuk, cuba amalkan kebiasaan baharu di mana kita mudah untuk mendapat perkhidmatan seperti Grab¬†(E-Hailing) atau teksi atau pengangkutan awam.

“Jadi bila tak boleh memandu panggil lah Grab, sekarang ini semudah dengan menggunakan telefon pintar sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Yazid juga mendedahkan jumlah pemandu mabuk yang ditangkap dalam Op Mabuk bagi tempoh Januari hingga Mei 2020 berbanding tahun lepas menunjukkan peningkatan sebanyak 22 peratus.

“Untuk pemandu mabuk di bawah kesalahan Seksyen 45 A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, bagi tempoh Januari hingga Mei 2020, sebanyak 50 tangkapan telah dibuat.

“Untuk bilangan Op Mabuk dari Januari – Mei 2020, sebanyak 30 Op Mabuk dijalankan, di mana 1,662 orang yang telah diperiksa dan jumlah tangkapan sebanyak 50 orang.

“Perbandingan dengan tahun lepas bagi 50 Op Mabuk yang dijalankan dalam tempoh sama, bilangan orang yang diperiksa ialah 630 orang dan jumlah tangkapan 39 orang, meningkat sebanyak 22 peratus,” katanya lagi. – MalaysiaGazette