Seorang tukang urut OKU penglihatan sedang mengurut pelanggannya di Pusat Urut dan Refleksologi Sungai Besi, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Amal Pembangunan Usahawan OKU Penglihatan Malaysia merayu kerajaan membenarkan Orang Kelainan Upaya yang menawarkan perkhidmatan berurut dan refleksologi dibenarkan beroperasi semula sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Presidennya, Mohamad Faiz Abdullah berkata, sebanyak 300 hingga 400 orang pengusaha berkenaan terjejas pendapatan sejak 18 Mac lalu apabila perkhidmatan tersebut tidak dibenarkan beroperasi sehingga hari ini.

Memandangkan kedai gunting rambut dibenarkan beroperasi semula, jadi pertubuhan ini memohon kerajaan mempertimbangkan operasi perkhidmatan berurut dan refleksologi.

”Jika tidak dibenarkan berurut, sekurang-kurangnya operasi refleksologi dapat dijalankan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurutnya, rayuan ini dibuat memandangkan kebanyakan OKU yang menjalankan perkhidmatan tersebut semakin terdesak kerana perlu membayar sewa kedai dan gaji pekerja-pekerja yang majoriti dalam kalangan OKU juga.

Keadaan itu meruncing terutama pengusaha-pengusaha yang beroperasi di Kuala Lumpur kerana kos sara hidup dan sewa bangunan adalah tinggi.

Rata-rata OKU penglihatan yang membuka kedai urut dan refleksologi bukan peniaga yang memperoleh untung besar memandangkan perkhidmatan ini bukan keperluan utama, justeru pendapatan yang diraih sebelum ini tidak semewah mana.

“Apabila kedai terpaksa ditutup, kehidupan tukang-tukang urut semakin tertekan terutama yang meraih pendapatan kurang RM3000 sebulan.

“Kalau di Kuala Lumpur pendapatan sebanyak RM3000 sudah dikira miskin. Inilah yang membimbangkan kami,” ujarnya.

Meskipun golongan OKU menerima bantuan daripada kerajaan tetapi urusan permohonan bukanlah mudah kerana masih perlu melalui pelbagai karenah birokrasi.

Muhamad Faiz berkata, perkara ini sudah dikemukakan kepada Jabatan Kebajikan Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) namun setakat hari ini rayuan pertubuhan masih belum mendapat sebarang maklum balas.

Sedangkan, katanya, pertubuhan itu dan badan-badan bukan kerajaan membabitkan OKU sudah pun bersedia untuk berbincang dengan KKM berhubung prosedur operasi standard (SOP) untuk golongan ini.

“Kita harap rayuan ini mendapat perhatian dan tindakan sewajarnya daripada kerajaan,” tambah beliau. – MalaysiaGazette