Pekerja Nurul Ain Hair & Beauty Saloon, Nadia Asia melakukan kerja-kerja pembersihan sebagai persiapan awal sebelum bermulanya beroperasi pada Rabu ini semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Ampang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 08 JUN 2020

KERAJAAN telah mengumumkan pelbagai inisiatif menarik melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang berpaksikan kepada tiga matlamat utama untuk memulih semula ekonomi rakyat dan negara iaitu, memperkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan dan merangsangkan ekonomi. Walaupun ianya bersifat jangka pendek tetapi inisiatif yang diumumkan dilihat sangat komprehensif dan mampu memberikan impak yang besar kepada kehidupan rakyat serta perkembangan ekonomi negara.

Melalui Penjana kerajaan telah membuktikan komitmen untuk membantu semua lapisan anggota masyarakat agar dapat meneruskan kelangsungan kehidupan masing-masing ketika sedang berhadapan dengan situasi yang cukup mencabar. Jelas sekali serangan wabak Covid-19 mengubah segala-galanya. Ramai yang hilang pekerjaan dan punca pendapatan, peniaga juga terpaksa bergelut untuk meneruskan operasi, malah sudah ada yang gulung tikar. Jadi penulis melihat Penjana menyediakan peluang yang cukup baik untuk rakyat memulihkan semula ekonomi diri dan juga negara.

Justeru kini terpulang kepada kita sendiri bagaimana dapat merebut semua peluang yang kerajaan sediakan dan seterusnya memulihkan ekonomi diri serta menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara. Ringkasnya, kita perlu memikul tanggungjawab untuk memajukan diri, keluarga dan negara.

Misalnya, soal kerisauan diberhentikan kerja mungkin tidak timbul lagi kerana suntikan insentif tambahan berjumlah RM5 bilion untuk Program Subsidi Upah mampu menyelamatkan lebih banyak lagi pekerjaan. Majikan tidak perlu lagi memberhentikan pekerja untuk mengurangkan kos operasi atau kerugian mereka. Jadi rakyat boleh terus bekerja dan merangsang semula ekonomi diri dan keluarga.

Begitu juga halnya dalam soal membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat terutamanya kepada penganggur, belia dan graduan. Insentif sebanyak RM1.5 bilion telah diperuntukkan untuk Program Insentif Pengambilan Pekerja. Melalui program ini, majikan atau syarikat akan menerima insentif kewangan untuk memberi pekerjaan kepada golongan penganggur dan belia. Insentif ini terbahagi kepada dua iaitu, insentif RM800 sebulan bagi setiap pekerja sekiranya menggaji penganggur berumur di bawah 40 tahun dan RM1,000 sebulan selama enam bulan sekiranya menggaji penganggur berumur 40 tahun dan ke atas dan golongan orang kelainan upaya (OKU). Dianggarkan 300 ribu pencari kerja akan mendapat manfaat melalui insentif itu. Jelas sekali lebih banyak peluang pekerjaan akan wujud selepas ini dan ini bukan saja dapat mengurangkan kadar pengangguran tapi lebih penting lagi dapat memberikan sinar harapan baharu kepada pencari kerja untuk membina hidup mereka.

Malah kerajaan juga menyediakan peruntukan untuk golongan belia dan penganggur mengikuti pelbagai latihan dan kursus bagi meningkatkan kemahiran masing-masing agar dapat mempersiapkan diri dengan kelengkapan yang diperlukan oleh majikan dan pasaran kerja.

Jadi secara prinsipnya tidak ada alasan kenapa golongan pencari kerja boleh menganggur selepas ini. Sepatutnya kita sahut cabaran dan peluang yang disediakan untuk memajukan ekonomi diri dan keluarga. Kita percaya selepas ini jumlah pekerja asing juga akan dikurangkan secara perlahan-lahan dalam pelbagai sektor pekerjaan termasuk dalam sektor pekerjaan 3D iaitu kotor, bahaya dan sukar. Ini sekali gus akan membukan lebih banyak lagi peluang pekerjaan kepada anak tempatan. Maka terpulang kepada kita sama ada sanggup atau tidak mengisi ruang kosong yang akan ditinggalkan oleh pekerja asing ini. Dalam hal ini diharap golongan belia terutamanya dapat mengubah persepsi dan mentaliti tentang sektor 3D ini. Jangan memilih kerja sebaliknya rebutlah apa saja peluang yang ada di depan mata.

Pada masa yang sama rakyat juga bertanggungjawab membantu memulihkan ekonomi negara. Misalnya sokonglah kempen “Buy Malaysia” dengan membeli produk dan perkhidmatan tempatan. Sedarlah kita mampu memajukan ekonomi negara jika menyokong sepenuhnya produk tempatan, misalnya ini akan membantu mengembangkan perniagaan pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di samping mengawal aliran keluar mata wang negara. Ironinya kualiti produk tempatan kini dilihat jauh lebih baik dari produk luar negara, jadi kenapa masih perlu membeli produk import?

Dalam pada itu, kita juga boleh membantu merancakkan ekonomi negara melalui aktiviti pelancongan domestik. Industri pelancongan dan perhotelan misalnya cukup terjejas angkara wabak Covid-19 sehingga ada hotel yang tutup operasi dan ramai pekerja sektor ini juga hilang pekerjaan. Jadi tatkala sempadan negara masih ditutup, inilah masanya untuk kita merancakkan semula industri pelancongan domestik yang akan membantu memacu semula ekonomi negara.

Oleh: Noor Mohamad Shakil Hameed,
Timbalan Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast