Reaksi Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Rohaizat Yon pada hari terakhir beliau selepas sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto MALAYSIA GAZETTE, 10 JUN 2020

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah kelihatan pilu apabila salah seorang panglima perangnya, Datuk Dr Rohaizat Yon bersara.

Dalam nada sebak, Noor Hisham turut berterima kasih kepada Dr Rohaizat kerana sentiasa bersama beliau dalam mendepani penularan wabak Covid-19 sejak penghujung tahun lalu.

“Hari ini adalah hari terakhir salah seorang panglima perang saya bersara wajib dan beliau telah bersama dengan pasukan KKM mengharungi dan memerangi wabak Covid-19.

“Setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Dr Rohaizat kerana memberikan komitmen yang tinggi sepanjang perkhidmatan beliau kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam nada sebak.

Dr Rohaizat bersara wajib hari ini selepas 35 tahun berkhidmat di kementerian ini.

Dalam pada itu, Dr Rohaizat berkata, beliau yakin negara mampu untuk mencatatkan sifar kes positif Covid-19 di bawah pentadbiran Noor Hisham.

“Setiap hari Ketua Pengarah berkata penjarakan sosial adalah vaksin yang ada didunia yang mampu menurunkan 60 peratus jangkitan Covid-19.

“Kita telah lihat hari ini bahawa ini membuahkan hasil yang amat cemerlang. Mungkin esok atau lusa kita tidak akan kesan sebarang kes positif Covid-19. Kes-kes Covid-19 akan jadi sifar,” katanya dalam sidang media, di KKM hari ini.

Dr Rohaizat dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) pada 25 Mac tahun lalu menggantikan Datuk Dr Azman Abu Bakar.

Sebelum ini, Dr Rohaizat merupakan Pengarah Bahagian Perancangan, KKM sejak Februari 2017. – MalaysiaGazette