Serpihan pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Donetsk, Ukraine pada tahun 2014.

THE HAGUE – Amerika Syarikat (AS) mungkin mempunyai gambar satelit peluru bepandu yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat Boeing, B777 milik Malaysia Airlines tujuh tahun lalu, namun imej tersebut diklasifikasikan sebagai rahsia.

Mahkamah Daerah The Hague diberitahu bahawa peluru berpandu yang menembak jatuh penerbangan MH17 pada Julai 2014 tidak dikesan radar awam Rusia tetapi para pakar memberitahu penyiasat bahawa ia mungkin terlalu kecil atau terbang terlalu laju.

Pendakwa Raya, Thijs Berger berkata, seorang pakar menyatakan Rusia mungkin dengan mudah telah memadamkan bukti radar tentang peluru berpandu yang menembak jatuh pesawat itu di Ukraine, di kawasan di mana tentera kerajaan bertempur dengan puak pemisah yang disokong Rusia.

Warga Rusia Oleg Pulatov, Igor Girkin dan Sergey Dubinsky serta warga Ukraine, Leonid Kharchenko sedang dibicara tanpa kehadiran di Belanda kerana didakwa membunuh kesemua 298 penumpang yang berada dalam pesawat itu.

Berger memberitahu mahkamah bahawa perisik AS telah mengesan sebuah peluru berpandu dilancarkan berhampiran bandar Snizhne.

“Sebahagian asas set data dan data penyelidikan tidak diperolehi untuk pemeriksaan.

“Pihak berkuasa AS menyatakan mereka tidak dapat menyediakan lebih banyak maklumat mengenai pengesanan peluru berpandu selain daripada kenyataan bertulis dan ia telah diberi secara rahsia kepada pendakwa raya warga Belanda,” katanya seperti dipetik The Australian.

Beliau berkata, pasukan siasatan antarabangsa telah memperincikan punca nahas pesawat itu kepada puak pemisah di Snizhne yang melancarkan sebuah peluru berpandu, Buk-TELAR, terhadap pesawat itu.

Para penyiasat memberi tumpuan kepada seorang saksi yang nampak sebuah peluru berpandu dilancarkan dari sebuah padang berdekatan Snizhne.

Seorang wartawan menemui rumput terbakar di padang yang sama dengan bukti pelancaran peluru berpandu disahkan menerusi imej satelit.

Berger berkata, semua senario lain kemalangan yang disebut Rusia telah dihapuskan secara metodis dengan menggunakan data forensik, imej satelit, gambar satelit, memintas perbualan telefon dan maklumat tentera.

“Kami menyimpulkan bahawa Rusia tidak bertindak dengan niat baik dalam siasatan ini,” katanya.

Perbicaraan bersambung. – Agensi