SEBAHAGIAN daripada sukarelawan Komuniti Belia Taman Pengkalan Jaya membantu membersihkan kesan kebakaran tiga buah rumah di taman perumahan itu di Ipoh, Perak baru-baru ini.

IPOH – Seramai 50 orang sukarelawan telah terlibat menjayakan program gotong-royong bagi membersihkan kediaman tiga mangsa kebakaran di Taman Pengkalan Jaya (SPPK) di sini baru-baru ini.

Program itu dikelolakan oleh Cawangan UMNO Pinji Selatan dan Komuniti Belia Taman Pengkalan Jaya.

Kejadian kebakaran yang berlaku pada Isnin lalu itu telah memusnahkan sebuah rumah manakala dua buah lagi mengalami kerosakan teruk.

Ketua Cawangan UMNO Pinji Selatan, Zulkifli Baharom berkata, kerja-kerja dimulakan pada pukul 9 pagi dan berakhir kira-kira pukul 6.30 petang melibatkan seramai 50 orang sukarelawan.

“Kita mengeluarkan kayu-kayu, perabot dan barang-barang yang musnah dimakan api. Ini juga sebagai sumbangan komuniti setempat bagi meringankan beban yang dihadapi mangsa-mangsa.

“Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang membantu sepanjang menjayakan program ini,” ujarnya.
Tambah Zulkifli, ketika ini dua daripada keluarga yang terjejas ditempatkan sementara di dua buah rumah inap desa di sini yang diuruskan sepenuhya oleh pihak Komuniti Belia Taman Pengkalan Jaya manakala satu keluarga pulang ke kampung di Sitiawan.

Dalam pada itu, musibah yang menimpa tiga keluarga itu mendapat perhatian Ketua Bahagian UMNO Ipoh Timor, Datuk Azian Osman yang telah turun padang menziarahi selain melihat tempat kejadian.

Pada kunjungan tersebut, beliau yang juga Pengerusi Suruhanjaya Tenaga Malaysia telah menyampaikan sumbangan kepada wakil keluarga berkenaan bagi meringankan musibah yang dihadapi.

Keluarga ini juga turut menerima sumbangan daripada Masjid Al-Furqan yang disampaikan oleh Pengerusinya, Mazlan Mat Sarip.- MalaysiaGazette