Gambar hiasan

KUALA LUMPUR-  Seramai 704 pendatang tanpa izin (PATI) dan 125 tekong telah ditahan kerana cuba memasuki sempadan negara secara haram terutamanya melalui lorong-lorong tikus dalam tempoh 1 Mei lalu sehingga semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, turut ditahan adalah 12 individu yang disyaki penyeludup serta 14 buah kapal.

Tambahnya, agensi penguatkuasaan juga berjaya mengusir 164 PATI, enam tekong serta 27 kapal yang mencuba membolosi kawasan sempadan negara.

PDRM juga katanya, telah membuat 49 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 40,969 kenderaan bagi mengekang kemasukan PATI terutamanya di lorong-lorong tikus.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.

“Agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya lorong-lorong tikus,” tegasnya.

Operasi Benteng melibatkan ATM, PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM).

Ia adalah bagi mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak COVID-19.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.