KUALA LUMPUR – Perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas ekspres dan harian seperti keretapi, teksi dan e-hailing, feri; kapal terbang dan LRT kini dibenarkan untuk beroperasi dengan kapasiti penuh penumpang.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri selepas mendengar pembentangan prosedur operasi standard (SOP) pengangkutan awam oleh Kementerian Pengangkutan hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju membenarkan perkhidmatan e-hailing dan teksi beroperasi dengan kapasiti penumpang mengikut kapasiti kenderaan tanpa sebarang had masa.
Bagaimanapun, kesemua penumpang dan pemandu diwajibkan memakai pelitup muka.
Aplikasi MySejahtera perlu dimuat naik bagi memudahkan penjejakan kontak manakala pembayaran tanpa tunai adalah digalakkan.
Pemandu wajib melakukan sanitasi selepas setiap penumpang turun.
Perkara yang sama juga perlu dilakukan oleh pengendali bas ekspres.
“Mesyuarat Khas hari ini juga bersetuju untuk membenarkan bas ekspres beroperasi dengan kapasiti penuh (full capacity) dan tanpa had masa.
“Pengusaha bas ekspres perlu mendaftar penumpang-penumpang mereka melalui aplikasi MySejahtera atau secara manual,” katanya semasa sidang media hari ini.
Pengusaha katanya, perlu memeriksa suhu badan setiap penumpang sebelum menaiki bas dan menyediakan pelitup muka kepada penumpang yang tidak memilikinya.
“Pengangkutan awam seperti bas awam, feri, keretapi, keretapi aliran ringan dan lain-lain boleh beroperasi dengan kapasiti penuh.
“Bagi yang membenarkan penumpang untuk berdiri, penumpang perlu mengamalkan kawalan kendiri penjarakan sosial.
Pesawat penerbangan juga dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh.
Suhu penumpang perlu direkodkan terlebih dahulu dan diwajibkan untuk memakai pelitup muka.
SOP yang ditetapkan perlu dipatuhi pada setiap masa termasuk memakai topeng muka, memuat turun aplikasi MySejahtera dan penggunaan hand sanitiser, tegasnya.
Mesyuarat Khas juga menurut Ismail Sabri, bersetuju untuk membenarkan kenderaan persendirian membawa penumpang yang bukan dari keluarga yang sama dan mengikut kapasiti kenderaan. Mereka juga perlu memakai topeng muka di dalam kenderaan.- MalaysiaGazette