Rosniza Abd Wahab, 35, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh anak tirinya yang berusia dua tahun 10 bulan di Padang Serai dekat sini, pada 29 Mei lepas.-Foto: Bernama

KULIM – Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh anak tirinya yang berusia dua tahun 10 bulan di Padang Serai pada 29 Mei lepas.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Rosniza Abd Wahab, 35, selain mengangguk faham atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Che Rohana Ismail.

Mengikut pertuduhan, Rosniza dituduh membunuh anak tirinya, Muhammad Kahfi Mohd Kairul Nazri di rumah di Taman Serai Wangi 4, Padang Serai dekat sini pada 9 pagi, 29 Mei lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, wanita itu bersama suaminya, Mohd Kairul Nazri Md Noor, 36, yang merupakan jurutera kilang mengaku tidak bersalah mendera Muhammad Kahfi sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di lokasi, masa dan tarikh sama.

Kedua-dua mereka membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Musyiri Peet selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Pasangan suami isteri itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Namun, hakim tidak membenarkan mereka diikat jamin kerana perbuatan mendera anak adalah satu kesalahan serius.

Kedua-dua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Akmal Abdul Ghani, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Fieza Fazlin Fandi.

Mahkamah menetapkan 13 Julai ini untuk sebutan semula kedua-dua kes itu.-BERNAMA

1 Komen

  1. Hadoiiii kenapa laaa ko dera budak tu? Ko kalau tak nak ramai org kat luar sana nak buat anak angkat..

Comments are closed.