KUALA LUMPUR – Kejayaan yang dikecapi rakyat Malaysia hari ini tidak akan dirasai tanpa pengorbanan pejuang barisan hadapan dalam memerangi penularan wabak Covid-19.
Exco Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Fariz Abdul Hadi berkata, barisan harapan yang bertungkus lumus sepanjang hampir 90 hari itu ialah doktor, jururawat dan petugas Kementerian Kesihatan termasuk polis, anggota tentera, Rela, JPAM, Bomba dan Penyelamat Malaysia dan banyak lagi.
Katanya, mereka bekerja siang malam tanpa henti dan cuti, malah kemungkinan mereka tidak dapat bercuti sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tamat sepenuhnya.
“Saya mewakili seluruh ahli Pemuda UMNO bersyukur kerana kes jangkitan Covid-19 di negara kita sudah hampir mencecah zero kes.
“Setelah hampir 90 hari tempoh PKP dilaksanakan, peperangan kita mungkin hampir ke penghujung.
“Tapi peperangan ini akan mencapai kemenangan jika kita sama-sama berganding bahu bekerjasama menjaga diri kita dan keluarga supaya kita mampu menghindari jangkitan Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau turut meminta jasa baik Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah memikirkan kaedah penghargaan yang perlu diberikan kepada pejuang barisan hadapan itu.
Mohd Fariz mencadangkan mereka diberikan bonus khas setelah tamat PKP kelak, termasuk memberikan cuti berperingkat bermula dari hari ini.
“Ini memandangkan ramai pejuang barisan hadapan tidak bercuti hampir 90 hari, malah mereka belum lagi sempat meraikan Hari Raya Aidilfitri atas desakan tugas dan tanggungjawab demi rakyat Malaysia dan negara tercinta.
“Saya juga mewakili seluruh rakyat Malaysia mengucapkan ribuan terima kasih kepada kepimpinan kerajaan termasuk Abah (Muhyiddin), Pak Long Mail (Ismail Sabri, Pak Ngah Hisham (Noor Hisham) dan Pak Chu Zafrul (Tengku Zafrul).
“Tidak lupa juga kepada seluruh pejuang barisan hadapan termasuk semua semua pemandu lori, bas dan runner makanan. Anda semua telah menjalankan tugas dengan baik sepanjang tempoh PKP,” katanya. – MalaysiaGazette