Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan sebanyak 33 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan setakat 12 tengahari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 adalah sebanyak 8,402 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,115 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Ingin dimaklumkan daripada 33 kes baharu yang dilaporkan, 16 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada 17 kes penularan di dalam negara, 14 kes adalah bukan warganegara dan tiga kes adalah dalam kalangan warganegara,” katanya dalam sidang media perkembangan harian jangkitan semasa Covid-19 hari ini.

Tambah Noor Hisham, hari ini sebanyak 103 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 7,168 kes (85.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Menyentuh mengenai perincian tiga kes dalam kalangan warga tempatan, katanya, satu kes adalah saringan kontak kepada kes positif (kes ke-7, 735) di Kuala Lumpur, satu kes saringan Pusat Tahfiz di Selangor dan satu kes saringan kepada kematian di dalam komuniti seperti dilaporkan sebagai kes kematian ke-119.

Menurutnya, sehingga kini, sebanyak empat kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

“Pada masa sama, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan Covid-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 119 kes iaitu 1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-119 (kes ke-8,370) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 85 tahun dan telah meninggal dunia pada 11 Jun lalu di rumah beliau dan jenazah beliau dibawa ke Hospital Keningau, Sabah.

“Ujian saringan ke atas beliau telah didapati positif Covid-19,'” tegas beliau.-MalaysiaGazette