Pengunjung menunaikan solat Jumaat di luar Masjid Negara yang masih ditutup kerana berada dalam Zon Kuning. foto FAREEZ FADZIL, 12 JUN 2020

KUALA LUMPUR – Sebanyak 24 masjid yang dibenarkan melaksanakan solat Jumaat bermula hari ini kerana berada dalam zon hijau.

Berdasarkan senarai yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, 23 masjid adalah di Kuala Lumpur, satu di Putrajaya dan tiada masjid di Labuan.

Untuk solat yang sama, sebanyak 28 surau dibenarkan membabitkan 17 di Kuala Lumpur dan 11 di Putrajaya.

Sementara itu, sebanyak 60 masjid dan 72 surau masih tidak dibenarkan mengadakan solat Jumaat di Wilayah Persekutuan kerana berada di dalam zon kuning.

Zon merah pula menyaksikan lima masjid dan 11 surau juga tidak dibenarkan dibuka.

Senarai yang dikeluarkan itu menyatakan sumber adalah daripada Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

Ia diedarkan oleh anggota polis yang bertugas di Masjid Negara hari ini di mana menjadi salah satu masjid yang masih lagi tidak dibenarkan beroperasi.

Sebelum ini, Kementerian Kesitaha menenetapkan empat zon bagi mengklasifikasikan kawasan Covid-19 yang dilakukan berdasarkan jumlah kes di sesuatu kawasan.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam jawapan bagi soalan lazim (FAQ) mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Tahap 2 (PKP 2) memaklumkan zon merah mempunyai lebih daripada 40 kes positif virus berkenaan, manakala kawasan yang mempunyai 21 hingga 40 kes positif dirujuk sebagai zon jingga.

Zon kuning pula merujuk kepada kawasan yang mempunyai satu hingga 20 kes positif, manakala zon hijau adalah kawasan yang tiada kes positif. – MalaysiaGazette