SHAH ALAM – Seorang penuntut pengajian tinggi swasta mengaku bersalah mencuri barangan keperluan harian berjumlah RM2,277.50 di sebuah pasar raya dihukum penjara selama satu hari dan denda sebanyak RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini.

Kejadian tersebut berlaku pada 29 Mei lalu semasa tertuduh yang bekerja sebagai juruwang sambilan di pasar raya itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berusia 22 tahun itu melakukan perkara itu pada jam 6.28 petang di sebuah pasar raya di Jalan Batu Empat, Seksyen 36 di sini.

Kesalahan itu boleh dihukum di bawah seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Penuntut itu kelihatan tenang ketika berdiri dalam kandang tertuduh membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan yang dibacakannya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin.

Siasatan kes telah dikendalikan oleh Sarjan Norizuana Saaidin dan pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Huzair B.Abdul Munir.

Huzair mencadangkan majistret supaya mengenakan satu hukuman denda minimum mengambil kira status tertuduh yang merupakan seorang penuntut. – MalaysiaGazette