Seorang pekerja pembinaan membuat kerja-kerja ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette melawat tapak pembinaan pembangunan Tun Razak Exchange (TRX) City di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 JUN 2018

KUALA LUMPUR – Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) berpendapat terdapat beberapa perkara yang membabitkan nasib dan masa depan kontraktor tempatan perlu diberi perhatian kerajaan walaupun Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) memberi kelegaan kepada kontraktor yang terjejas akibat Covid-19.

Justeru itu, hasil Mesyuarat Jawatankuasa PKBM yang berlangsung pada 10 Jun 2020 menetapkan 7 syor dan tindakan yang perlu diberi pertimbangan khusus oleh kerajaan dalam usaha mengelak lebih ramai kontraktor tempatan gulung tikar.

SME Bank perlu melonggarkan syarat pinjaman kepada mana-mana kontraktor yang mempunyai rekod CTOS dan CCRIS bagi membolehkan mereka diberi kelayakan sewajarnya pada waktu mencabar ini untuk mendapat dana pinjaman yang diumum di bawah Penjana sebagai pusingan modal kerja khususnya melibatkan kontraktor G1 dan G2.

Selain itu, penilaian untuk menganugerahkan apa jua tender dan projek kepada kontraktor G5, G6 dan G7 tidak hanya merujuk kepada rekod kewangan syarikat bagi tempoh Mac 2020 hingga Jun 2020 memandangkan, sepanjang tempoh itu, ramai kontraktor tidak mempunyai kerja-kerja untuk dilakukan disebabkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) menyebabkan aliran kewangan syarikat terjejas teruk dan berada dalam kedudukan defisit.

Justeru, Pengerusi PKBM, Datuk Azman Yusoff berkata, penilaian sebaik-baiknya adalah dengan melihat rekod kewangan syarikat bagi bulan-bulan terdahulu iaitu sebelum Mac 2020 kerana itu lebih adil khsusunya kepada kontraktor yang terjejas.

Syor ketiga ialah meminta Kementerian Kewangan dan Jabatan Kerja Raya memantau supaya dana Penjana yang diagih kepada syarikat konsesi ini, manfaatnya mesti turut dirasai ahli persatuan kontraktor.

”Kita mendapat aduan dari ahli persatuan yang mana ada dalam kalangannya hanya diberi komisien oleh syarikat konsesi selepas mereka memberi pinjam lesen namun yang dikesali apabila mereka tidak langsung diberikan sebarang kerja,” dedahnya dalam satu kenyataan di sini.

Azman menambah, cadangan keempat pula melaksana tender terus atau tender terhad sebagai langkah mempercepatkan pertumbuhan ekonomi.

Kaedah ini, ujar beliau boleh dilaksana khusus untuk projek-projek terpilih dan berprestasi tinggi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Kelima adalah melaksanakan kaedah undian menerusi online perlu dilaksana oleh pihak berkuasa tempatan bagi mengelak penganugerahan sebarang tender hanya dibolot pihak tertentu yang mempunyai hubungan baik dengan Ahli Majlis PBT.

Katanya, ada jabatan dan agensi kerajaan lain yang sudah pun melaksana kaedah berkenaan kerana ia boleh memberi keadilan kepada semua kontraktor.

Yang keenam pula menjadikan Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sebagai saluran pusat sehenti untuk mengenal pasti pekerja-pekerja yang terkesan dengan Covid-19 dan diberhentikan kerja oleh majikan.

CIDB boleh bertindak sebagai pemudah cara memberi peluang pekerjaan seperti mensyaratkan kepada mana-mana kontraktor yang sudah dilantik supaya mengambil pekerja ini dengan syarat kontrak tertentu.

Yang terakhir, PKBM menawarkan khidmat ujian Covid-19 kepada semua kontraktor hasil kerjasama dengan pihak hospital yang akan mengeluarkan keputusan ujian berkenaan.

Azman berkata, semua pekerja akan disaring di tapak binaan tanpa perlu datang ke hospital. – MalaysiaGazette