Anggota PDRM memberi penerangan kepada orang ramai mengenai penutupan masjid susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 12 JUN 2020

KUALA LUMPUR – Seorang warga emas pulang hampa apabila niat untuk menunaikan solat Jumaat buat pertama kali sejak hampir tiga bulan tidak tercapai kerana Masjid Negara masih belum dibuka hari ini.

Pesara swasta, Amiruddin Adnan yang tiba awal sebelum pukul 1 petang berasa terkilan apabila dimaklumkan semua aktiviti di masjid itu ditangguhkan bermula 10 Jun hingga 17 Jun ini kerana berada dalam zon kuning.

Amiruddin Adnan

Beliau yang datang dari Kampung Pandan memberitahu terlebih dahulu pergi ke masjid di Pandan Indah namun diberitahu semua masjid di Selangor belum dibuka sepenuhnya.

Bagi masjid yang dibuka di negeri itu katanya, jemaah yang boleh menunaikan solat Jumaat hanya mereka yang mendaftar diri secara atas talian lebih awal.

Petugas menampal notis mengenai penutupan masjid susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 12 JUN 2020

“Nampaknya masih tidak ada peluang hendak menunaikan solat Jumaat lagi hari ini dan kena balik rumah solat Zohor sahaja.

“Siapa tak rindu hendak solat Jumaat dan jemaah di masjid lepas hampir tiga bulan ditutup.

“Bagaimanapun kita mesti patuh dengan arahan demi kesihatan diri yang lebih utama,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette mendapati beberapa anggota polis kelihatan bertugas untuk mengawal keadaan di pintu Masjid Negara selepas beberapa jemaah hadir ke sana.

Pihak polis turut menunjukkan senarai masjid yang telah dibuka di Wilayah Persekutuan dan berada dalam kawasan hijau, kuning dan merah.

Tinjauan MalaysiaGazette di Masjid Negara di sini mendapati suasana masih lengang dengan kelibat jemaah selepas jumlah yang dibenarkan adalah 1/3 daripada kapasiti penuh masjid di Wilayah Persekutuan.

Malah aliran trafik tidak sesak di hadapan masjid kerana kebanyakan yang datang bermotosikal walaupun kebiasaannya berdepan senario sibuk ketika solat Jumaat selama ini.

Cuma kelihatan terdapat gerai jualan oleh foodtruck yang masih lagi menceriakan suasana.

Anggota ATM dan anggota PDRM mengawal masjid yang tutup dari dimasuki orang ramai susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 12 JUN 2020

Dalam pada itu, Notis Makluman yang dikeluarkan oleh Masjid Negara memberitahu pelaksanaan solat Jumaat dan solat jemaah masih tidak dibenarkan di masjid itu sehingga 17 Jun ini.

Ini kerana Masjid Negara yang siap dibina Ogos 1965 dan merupakan lambang keagungan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia ditutup sejak 10 Jun lalu kerana berada di dalam zon kuning.

Notis itu turut berkata, selain solat Jumaat dan solat jemaah, semua aktiviti dan program lain seperti ceramah, kuliah, lawatan dalam dan luar negara ditangguhkan.

“Arahan dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia,” jelas notis tersebut.

Pengunjung menunaikan solat jumaat di luar masjid yang tutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 12 JUN 2020

Berdasarkan penjelasan KKM sebelum ini, zon kuning pula merujuk kepada kawasan yang mempunyai satu hingga 20 kes positif.

Semalam, semua masjid, surau Jumaat dan surau di Wilayah Persekutuan dibenarkan dibuka bagi solat Jumaat dan solat berjemaah bermula hari ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, kebenaran itu diberikan melihat kepada peluasan kapasiti masjid untuk jemaah.

“Semua masjid, surau Jumaat dan surau dalam Zon Hijau di Wilayah Persekutuan akan dibuka bagi Solat Jumaat dan solat berjemaah dengan perluasan bilangan 1/3 daripada jumlah had kapasiti bagi dewan solat utama.

“Ini bermula dengan solat Jumaat pada 12 Jun 2020 bersamaan 20 Syawal 1441 Hijrah. Sebagai contoh, jika sebuah dewan solat mampu memuatkan 1,000 orang jemaah pada satu-satu masa, maka bilangan yang dibenarkan adalah 333 orang buat masa ini,” katanya dalam sidang media di Putrajaya.

Anggota PDRM memberi penerangan kepada orang ramai mengenai penutupan masjid susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPP) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 12 JUN 2020

Bermula 18 Mac lalu, buat kali pertama kali semua masjid di seluruh negara menghentikan solat Jumaat dan solat jemaah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Arahan itu bagi membantu negara untuk memutuskan rantaian virus koronavirus atau Covid-19 dan keputusan itu selari dengan langkah yang diambil di beberapa negara Islam lain, seperti Arab Saudi dan Kuwait.

Namun pada 15 Mei lalu, solat Jumaat dan solat berjemaah dalam zon hijau Covid-19 di Wilayah Persekutuan dibenarkan hanya melibatkan pengerusi, ahli jawatankuasa, pegawai dan petugas masjid, surau Jumaat dan surau terpilih. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast