PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berpuas hati dengan pelaksanaan Garis Panduan, SOP oleh Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) Mawadah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, SOP yang diperkenalkan adalah untuk menjaga keselamatan dan kebajikan kanak-kanak ketika mereka berada di Taska.
“Saya berpuashati dengan pelaksanaan SOP di taska ini demi menjamin keselamatan dan kesihatan kanak-kanak iaitu antara kelompok yang mudah terdedah dan terkesan dengan Covic-19,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke TASKA itu hari ini dan menyaksikan SOP yang dipraktikkan di sana bermula dari penghantaran kanak-kanak daripada penjaga sehingga ke ruang tempat mereka berehat dan bermain.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Taska Mawadah Jakim menyediakan kapasiti untuk 152 orang kanak-kanak dan jumlah bilangan yang ada sekarang ialah 44 orang. Mereka diawasi oleh lapan pengasuh.
Kata Rina, kerajaan juga mengumumkan Pelan Jana Semula (Penjana) iaitu bantuan khas kepada pengusaha Taska yang terkesan secara langsung dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Penjana memberi secara sekali bayaran sebanyak RM5,000 kepada TASKA Institusi dan Taska di tempat kerja serta RM1,000 kepada Taska yang beroperasi di rumah.
Selain itu, Penjana guga menyediakan bayaran Insentif Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata maksimum RM900 untuk seorang pengasuh.
“Usaha kerajaan ini untuk membantu Taska dan pada masa sama memberi peluang kepada mereka yang memerlukan pekerjaan,” katanya. – MalaysiaGazette