Pemandu berjaya menyelamatkan diri beberapa minit sebelum keretanya dilanggar keretapi- Foto: Agensi

JAKARTA- Seorang pemandu terselamat daripada ajal apabila berjaya menyelamatkan diri sebelum keretanya dilanggar sebuah keretapi di kampung Sumbermulyo, wilayah Jombang, Jawa Timur, Jumaat lalu.

Pemandu yang dikenali sebagai Am berusia 46 tahun itu sedang melintasi landasan yang tidak berpagar apabila keretanya tiba-tiba berhenti.

Dalam waktu yang sama sebuah keretapi KA Ranggajati dari Surabaya sedang menghampiri kawasan berkenaan.

Dia berjaya menyelamatkan diri beberapa minit sebelum keretapi berkenaan melanggar keretanya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pengendali keretapi kerajaan, PT Kereta Api Indonesia (KAI), kemalangan tersebut berlaku pada jam 10.26 pagi.

“Pemandu datang dari arah utara menuju ke selatan, kemudiannya melintasi landasan tersebut tanpa memandang ke kiri dan kanan.

“Keretapi berkenaan telah membunyikan hon tetapi diabaikan pemandu.

“Keretapi tersebut hanya bergesel dengan kereta,” kata jurucakap syarikat, Ixfan Hendriwintoko seperti yang dilaporkan kompas.com.

Menurut Ketua Unit Polis Trafik Jombang, Risky Fardian Caropeboka, kemalangan disyaki berlaku akibat kecuaian pemandu.- MalaysiaGazette