Orang ramai beratur panjang bagi membuat semakan dan bayaran saman di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur, Jalan Tun H S Lee, Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR – Semua kaunter semakan, pembayaran saman serta pembekalan dokumen berkaitan kemalangan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan dibuka semula esok.

Kaunter akan dibuka pada Isnin hingga Khamis bermula dari jam 9 pagi hingga 2 petang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan).

Manakala pada hari Jumaat, kaunter akan dibuka dari pukul 9.00 pagi hingga 12 tengah hari melibatkan kesemua kontinjen berkenaan.

Bagi IPK Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu kaunter hanya beroperasi pada hari Ahad hingga Khamis dari jam 9 pagi hingga 2 petang.

JSPT meminta orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) normal baharu ketika berurusan di kaunter dan mengamalkan penjagaan kesihatan kendiri.

Katanya, saringan suhu badan akan dilaksanakan dan orang ramai diminta memakai pelitup muka ketika berurusan di kaunter. – MalaysiaGazette