Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan saringan ke atas penduduk berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di sekitar kawasan Jalan Pudu, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 17 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Jumlah kes aktif Covid-19 kini berada di bawah paras 1,000 kes hari ini berikutan kes pulih mengatasi kes positif virus itu.

Bagi tempoh 24 jam hingga pukul 12 tengahari, terdapat lapan kes baharu dilaporkan manakala 35 kes sembuh direkod untuk tempoh tersebut, menjadikan kes aktif sebanyak 986 kes.

Pengarah Kesihatan Datuk Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak dua daripada lapan kes baharu itu merupakan kes import yang mendapat jangkitan daripada luar negara melibatkan individu pemastautin tetap.

Baki enam kes baharu adalah penularan dalam negara, empat bukan warganegara daripada Kluster Pembinaan Kuala Lumpur 2, katanya.

Tambah beliau, hanya dua kes adalah di kalangan warganegara Malaysia.

“Dua kes warganegara didapati positif selepas saringan klinikal kes Influenza Like Illness (ILI) di Bintulu Sarawak, satu lagi kes saringan pusat jagaan warga emas di Melaka Tengah.

“Sehigga kini sebanyak empat kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya sambil menambah jumlah kumulatif kes positif di Malaysia adalah sebanyk 8,453 kes.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media harian di Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini.

Noor Hisham turut memaklumkan satu kematian direkodkan hari ini yang melibatkan warganegara India yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil.

“Beliau berumur 67 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan penyakit buah pinggang. Beliau didapati tidak sedarkan diri di DTI dan segera dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),” katanya. -MalaysiaGazette