Datuk Saifuddin Abdullah.

PEKAN – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah hari ini, menafikan terlibat dengan penubuhan parti baharu yang kononnya diberi nama Parti Keadilan Negara yang tular di laman sosial.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, beliau hanya mengetahui mengenai parti itu selepas seorang pegawainya menunjukkan ciapan di Twitter yang memaparkan gambar carta organisasi parti tersebut semalam.

“Saya hanya tahu mengenainya daripada media sosial. Saya tak tahu dan tidak terlibat dengan perbincangan parti baharu. Pegawai saya yang tunjuk dan kata nama saya (diletakkan) sebagai setiausaha agung dalam carta organisasi itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Pusat Internet Felda Chini 1 di sini, semasa ditanya mengenai dakwaan penubuhan ‘parti’ yang dikatakan diterajui seorang menteri kanan selain turut memaparkan beberapa nama kenamaan lain dalam ‘carta organisasi’ itu.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, kementeriannya dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menubuhkan pasukan petugas khas di bawah Program Digital Ekonomi untuk merancakkan kefahaman orang ramai khususnya pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menggunakan sepenuhnya aplikasi dalam talian.

Pasukan itu dipengerusikan bersama beliau dan Menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menurut Saifuddin, masyarakat perlu menguasai kemahiran internet dalam kehidupan seharian kerana ia menjadi sebahagian daripada cara hidup baharu disebabkan penularan pandemik wabak COVID-19.

“Pandemik ini adalah perkara yang tidak dijangka dan dan secara tiba-tiba semuanya banyak dilakukan secara online. Kita juga meminta Digital Economy Corporation (MDEC) untuk menyemak kandungan kursus di bawah kementerian kerana kita mahu lebih banyak PKS menyertainya.

“Banyak kisah kejayaan PKS yang mula menggunakan internet seperti di sini, saya dimaklumkan ada usahawan biskut mazola yang pada awalnya hanya dapat menjual 50 bekas sebulan kini sudah meningkat kepada 500 bekas apabila mempromosikan produknya di media sosial,” katanya.

Saifuddin berkata selain perniagaan, semakin banyak aspek kehidupan seharian berkait dengan penggunaan internet dan aplikasi digital termasuk pembelajaran dan muzik disebabkan penularan COVID-19.  – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.