KUALA LUMPUR – Sebuah kilang kelapa sawit di Kluang, Johor yang menyebabkan pencemaran sungai diminta menghentikan operasi berkuatkuasa serta-merta sehingga tarikh penggantungan lesen ditarik balik oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, pihaknya boleh mengambil tindakan di bawah Peraturan 15, Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005 ke atas kilang berkenaan sekiranya gagal mematuhi arahan itu.

JAS Negeri Johor telah mengambil tindakan menggantung lesen operasi kilang kelapa sawit bermula pada 3 Jun 2020 hingga 2 Julai 2020 atau sehingga JAS berpuas hati dengan tindakan pembaikan yang dilaksanakan.

Katanya, kilang berkenaan disyaki menyebabkan pencemaran Sungai Sembrong, Kluang.

Siasatan yang dijalankan susulan aduan yang diterima pada 2 Jun lalu dibuat oleh JAS bersama Jabatan Perikanan Cawangan Kluang dan juga wakil penduduk kampung dari Perkampungan Orang Asli Sedohok, yang mana kejadian ikan mati ditemui. Siasatan dijalankan di sepanjang Sungai Sembrong menggunakan bot dan menyusuri sungai melalui daratan serta menjalankan persampelan secara in-situ.

Berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh JAS bersama MPOB, didapati terdapat perbezaan air berwarna gelap bercampur dengan air sungai dari aliran punca industri yang disyaki iaitu dari kilang kelapa sawit.

Hasil penguatkuasaan terhadap premis ini mendapati terdapat pelanggaran syarat-syarat lesen yang dikeluarkan oleh JAS yang mana berpotensi menyebabkan pencemaran akibat pelepasan efluen daripada premis tersebut.

Ahmad Parveez menambah, penggantungan lesen selama 1 bulan bermula 3 Jun 2020 dikenakan kerana ketidakpatuhan kepada syarat lesen berkaitan pelepasan efluen daripada premis.

Notis Arahan turut dikeluarkan kepada premis itu kerana pelanggaran syarat, yang mana premis gagal menjalankan penyelenggaraan ke atas sistem perparitan premis bagi memastikan resapan yang baik dan mengelakkan efluen mengalir memasuki alur air yang berdekatan. – MalaysiaGazette