aplikasi mysejahtera
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Hampir 3.7 juta orang telah mendaftar serta menggunakan aplikasi MySejahtera sepanjang lapan minggu ini selepas dilancarkan pada 20 April lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, antara fungsi atau ciri yang paling banyak digunakan penggunanya adalah, penjejak kawasan panas (Hotspot Tracker), penilaian kendiri dan statistik terkini bagi Covid-19 di Malaysia dan negara-negara ASEAN dan juga seluruh dunia.

Manakala katanya, MySejahtera Check-In adalah satu lagi fungsi terbaharu yang diperkenalkan secara rintis pada 1 Jun lalu dan telah digunakan secara meluas mulai 6 Jun lalu.

“Fungsi ini telah mendapat sambutan hangat, yang mana dalam masa hanya 13 hari sebanyak 119,837 premis perniagaan telah mendaftar untuk QR code dan sebanyak 10,006,857 check-in (daftar masuk) dicatatkan dari seluruh negara.

“Fungsi MySejahtera Check-In adalah berkonsepkan Simple, Safe and Secure. Senang digunakan iaitu tiada lagi borang manual yang perlu diisi dan pengguna aplikasi ini hanya perlu mengimbas Kod Maklumbalas Pantas (QR Code) melalui aplikasi dan terus masuk ke premis tersebut.

“Ia dijamin selamat yang mana ia dapat mengurangkan risiko jangkitan melalui sentuhan permukaan kerana tidak perlu
berkongsi alat tulis dan mengurangkan tempoh menunggu memasuki premis,” katanya dalam sidang media hari ini.

Justeru kata Noor Hisham, segala butiran peribadi pelanggan dalam aplikasi itu sangat selamat yang mana maklumat dan informasi daripada pengguna dilindungi di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), dan hanya akan digunakan untuk pengesanan kontak jika diperlukan.

Menurutnya, ciri aplikasi MySejahtera yang paling popular di kalangan pengguna ketika ini adalah hotspot tracker yang telah digunakan sebanyak 13.3 juta kali sejak aplikasi itu dilancarkan.

Katanya, bagi mereka yang belum memuat turun aplikasi MySejahtera, KKM mengalukan orang ramai berbuat demikian untuk menggunakan fungsi-fungsi penting aplikasi yang sama.

“Misalnya hotspot tracker boleh digunakan untuk merancang pergerakan yang boleh membantu pengguna mengelakkan kawasan Zon Merah;Penilaian risiko kesihatan untuk tanggungan (misalnya ibu bapa dan anak) boleh dilaksanakan dengan mudah.

“Pengguna aplikasi berkenaan juga boleh menjalankan penilaian kendiri dari semasa ke semasa dan lain-lain lagi sementara ia telah menjadi satu pencapaian yang boleh dibanggakan demi merealisasikan proses digitalisasi kesihatan di Malaysia,’ tegasnya.-MalaysiaGazette