Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (kanan) memberi penerangan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes (kiri) dan Pengerusi Airasia, Datuk Kamarudin Meranun (dua kanan) ketika melawat ladang selepas Pelancaran OURFARM di Jabatan Pertanian Serdang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 15 JUN 2020.

SERDANG – Platform e-dagang perniagaan-ke-perniagaan milik AirAsia, Ourfarm dijangka mampu meningkatkan pendapatan petani tempatan sehingga 25 peratus menjelang pertengahan tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihaknya optimis mencapai sasaran itu susulan platform baharu itu mampu mengurangkan kebergantungan petani kepada orang tengah.

“Saya banyak kali kata kepada pasukan saya, sekurang-kurangnya kita mesti mencapai 25 peratus margin keuntungan kepada para petani.

“Sekiranya tidak, apa gunanya Ourfarm, kita mesti bantu para petani.

“Seperti mana ketika mula dalam industri penerbangan, kita kata semua orang boleh terbang, kita bekerja keras dan sekarang semua orang benar-benar boleh terbang,” katanya pada sidang media pada Majlis Pelancaran Ourfarm di Jabatan Pertanian Serdang hari ini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif Ourfarm, Lalitha Sinanaser.

Platform Ourfarm bakal merevolusikan rantaian perniagaan berasaskan pertanian, dengan menghubungkan para petani terus kepada perniagaan berkaitan.

Usaha dijangka dapat meningkatkan pendapatan mereka dengan menghapuskan kos orang tengah dan menyediakan sokongan logistik untuk memenuhi pesanan mereka secara langsung kepada perniagaan.

Ourfarm memanfaatkan ekosistem AirAsia yang merangkumi kemampuan kargo, logistik dan pembayaran dengan pangkalan data perniagaan dan penggunanya.

Platform itu juga tidak mengenakan sebarang kos untuk mendaftar, dan menawarkan peluang kepada para petani untuk menerima latihan dalam mendigitalkan perniagaan mereka dengan kursus e-dagang dari RedBeat Academy.

Tony juga berkata, Ourfarm ditubuhkan dengan kerjasama strategik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta menyokong lebih daripada 1,000 orang petani kontrak kerajaan serta pemilik ladang swasta.

“Kami telah belajar daripada pengalaman menjalankan perniagaan katering dalam penerbangan dan Kafe Santan yang baru dilancarkan di mana kami juga menghadapi cabaran harga tinggi untuk bahan-bahan segar.

“Lebih penting lagi, Ourfarm akan membantu meningkatkan margin keuntungan pengeluar pertanian dengan menghapuskan kos orang tengah.

“Platform ini menyediakan sistem pengurusan rantaian bekalan yang lebih cekap yang menyokong agenda keselamatan makanan negara,” katanya.

Memandangkan Asean dikenali dengan sektor pertanian paling produktif di dunia, Ourfarm merancang untuk mengembangkan platform itu bagi menyokong sektor pertanian di rantau ini dalam jangka panjang.

“Kerjasama strategik antara MOA dan Ourfarm ini akan mewujudkan ekosistem baharu yang dapat membantu perniagaan berasaskan pertanian berkembang dengan lebih luas, sambil memberi pengguna nilai yang lebih baik untuk mereka.

Sementara itu, Lalitha pula berkata, para petani yang ingin bersama pihaknya perlu mempunyai produk pertanian yang ingin dipasarkan sekurang-kurangnya 50 kilogram.

“Mana-mana pihak yang ingin beli sayur dalam skala besar 50 kg dan ke atas, mereka boleh datang kepada kita.

“Setakat ini kita mempunyai 340 petani menunjukkan minat untuk memasarkan produk tani dan 45 petani pula sudah bersama kami.

“Untuk fasa pertama, mereka mensasarkan pasaran Lembah Klang untuk menjual hasil tani mereka, sebelum ke kawasan lain,” katanya.

Jelas Lalitha, Ourfarm bukan sahaja menjadi platform e-dagang kepada petani bahkan mereka turut menyediakan pengangkutan dan logistik dengan kerjasama TheLorry.com.

“Ourfarm bersedia dengan 7,000 lori di seluruh Malaysia yang boleh digerakkan dalam masa 60 minit untuk mengambil dan menghantar terus produk tersebut kepada pembeli.

“Ia memastikan kesegaran, sekaligus mengawal kos bagi para petani dalam platform kami.

“Saya percaya teknologi dan platform Ourfarm mampu meningkatkan pendapatan mereka sebagaimana yang berlaku di Jepun dan China,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast