Azhar Azizan Harun

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meneruskan inisiatif penghantaran kad pengundi kepada 20,990 pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pahang menjelang hari mengundi 4 Julai ini.

Pengerusinya Datuk Azhar Azizan Harun berkata, kad pengundi itu meliputi seramai 20,972 pengundi biasa dan 18 orang pengundi awal dan buat kali pertama dalam PRK berkenaan mengesyorkan masa keluar mengundi mengelak orang berkumpul beramai-ramai pada satu masa.

Katanya, kad pengundi itu mengandungi maklumat pusat mengudi, saluran mengundi, nombor bilangan pengundi, tarikh, masa pengundi dan cadangan masa keluar mengundi yang digalakkan SPR.

“Maklumat itu akan memudahkan pengundi untuk keluar mengundi pada hari mengundi awal Selasa 30 Jun 2020 serta hari mengundi biada pada Sabtu 4 Julai 2020.

“Pada  voter’s card kali ini, SPR juga meletakkan “masa keluar mengundi yang digalakkan” untuk setiap pengundi dengan harapan pengundi dapat mematuhi saranan itu.

“Cadangan masa keluar mengundi buat kali pertama dalam PRK kali ini adalah bertujuan untuk mengelakkan pengundi berkumpul dalam jumlah yang ramai dan memastikan penjarakan sosial dalam kalangan pengundi semasa berada di pusat mengundi,’ katanya dalam kenyataan tersebut pagi ini.

Tambah beliau ia adalah selaras dengan prosedur kawalan penyebaran wabak Covid-19 di bawah Akta 342 Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang sedang berkuatkuasa.

Menurut beliau, Kad Pengundi berkenaan telah mula diedarkan kepada pengundi DUN Chini bermula hari ini 15 Jun 2020.

Jelas beliau pengundi yang sudah menerima ‘Kad Pengundi’ tidak lagi perlu membuat semakan di Barung SPR di Pusat Daerah Mengundi untuk menyemak saluran saluran dan nombor bilangan pengundi dalam daftar pemilih kerana kedua-dua maklumat berkaitan telah dinyatakan dalam kad tersebut.

“SPR menegaskan bahawa pengundi masih perlu membawa kad pengenalan untuk pengesahan identiti untuk mengundi dan diingatkan supaya membawa ‘Voter’s Card’ atau catatan maklumat daftar pemilih pada hari mengundi bagi memudahkan semakan.

“Bagi mana-mana pengundi yang tidak menerima Voter’s Card (Kad Pengundi) berkenaan boleh membuat semakan maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran dan nombor bilangan.

“Semakan boleh dilaksanakan melalui portal SPR pengundi.spr.gov.my atau Aplikasi MySPR Semak atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) (SPR<jarak> Nombor Kad Pengenalan dan hantar ke nombor 15888 atau menghubungi talian hotline SPR 03-8892 7018,” tegas Azhar Azizan.- MalaysiaGazette