Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad membela diri terhadap sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB), enam tahun lalu.

Bagaimanapun, mahkamah melepas dan membebaskan Mohd Isa, daripada satu pertuduhan pecah amanah (CBT) berhubung pembelian hotel itu bagi RM160 juta tanpa kelulusan Lembaga Pengarah Felda selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan itu.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika membacakan penghakimannya.

”Kes prima facie sudah dibuktikan. Dengan ini saya memerintahkan Tan Sri Isa membela diri terhadap sembilan pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” kata beliau.

Mohd Isa menghadapi sembilan pertuduhan rasuah iaitu menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan Zaidel, iaitu ahli lembaga Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, menerusi individu bernama Muhammad Zahid Md Arip, sebagai tanda terima kasih bagi membantu meluluskan pembelian hotel oleh FICSB bagi RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai, 2014 dan 11 Disember 2015.

Setiap pertuduhan rasuah itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Mohd Isa sebagai pengarah FICSB dan diamanahkan dengan dana syarikat dituduh melakukan pecah amanah dengan meluluskan cadangan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak bagi RM160 juta tanpa kelulusan Lembaga Pengarah Felda.

Kesalahan itu didakwa dilakukan itu Tingkat 50, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC pada 29 April, 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Daripada tiga pilihan, bekas Pengerusi Felda itu memilih untuk memberi keterangan bersumpah bagi menjawab semua pertuduhan daripada pihak pendakwaan.

Terdahulu beliau dipilih memberikan keterangan secara bersumpah, keterangan secara dari kandang saksi tanpa sumpah dan berdiam diri.

Hakim kemudian menetapkan 17,18 dan 19 Ogos bagi prosiding pembelaan diri Mohd Isa berlangsung. – MalaysiaGazette