Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah

PETALING JAYA – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengajak Pakatan Harapan (PH) untuk “berjumpa” di Parlimen sekiranya mereka mempunyai kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Saifuddin berkata, Dewan Rakyat akan bersidang dari 13 Julai hingga 27 Ogos dan beliau juga menyatakan sokongan pasti kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya Ahli Parlimen perlu menjalankan undi percaya terhadap Perdana Menteri.

Mengenai PH yang asyik melepaskan ura-ura mengenai pertukaran kerajaan, Saifuddin berkata, rakyat memerlukan kerajaan yang stabil dan dapat berkhidmat untuk negara.

“Perikatan Nasional bukanlah sempurna, tetapi kami berjaya membuktikan bahawa setakat ini kami mampu menjadi kerajaan,” katanya dalam wawancara bersama Sinchew Daily.

Katanya, PH perlu membuktikan dakwaan di Parlimen bahawa Muhyiddin gagal mendapat sokongan Ahli Parlimen yang mencukupi.

“Tak ada masalah jika ini dilakukan di Parlimen.

“Tetapi dalam keadaan lain pula, mempertikaikan jumlah sokongan terhadap Muhyiddin pada ketika PM dilantik adalah seperti menghina Yang di-Pertuan Agong,” kata Saifuddin.

Ditanya sama ada tindakan akan diambil ke atas mereka yang mengeluarkan hujahan berkenaan, Saifuddin berkata, setiap orang bebas meluahkan pendapat, tetapi ia haruslah diluahkan secara berhati-hati.

“Ada batasannya walaupun sistem demokrasi membenarkan kebebasan bersuara.

“Ia adalah seperti kebebasan media, tetapi akan jadi lain kalau ia adalah berita palsu,” katanya.

Mengenai undang-undang larangan lompat parti, Saifuddin berkata, walaupun sesetengah pihak berpendapat ia perlu diwujudkan, tetapi Perlembagaan memberi hak pemilihan kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Saifuddin berkata, beliau telah membuat keputusan yang tepat apabila memilih untuk keluar PKR.

“Ada yang melihat saya sebagai pengkhianat pada masa itu, tetapi ada orang (Tun Dr. Mahathir Mohamad) yang telah meletak jawatan. Ia satu keadaan di luar jangkaan, apa yang boleh dilakukan?

“Kami perlu melantik PM baharu, saya dan rakan seperjuangan lain membuat keputusan menyokong orang (Muhyiddin) yang mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Parlimen.

“Masa itu, Dr. Mahathir tidak mendapat sokongan majoriti. Kalau anda tanya saya sebabnya, saya rasa soalan ini harus diajukan kepada semua orang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.