KUALA LUMPUR – Pemain pasukan Negeri Sembilan, Muhammad Shahrom Abdul Kalam jelas gembira bersama rakan sepasukan menjalani latihan di padang terbuka selepas hampir tiga bulan tidak dapat melakukannya susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas.

Bekas pemain kebangsaan berusia 34 tahun itu berkata walaupun terpaksa menjalani latihan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Liga Bola sepak Malaysia (MFL), beliau dan rakan sepasukannya gembira kerana dapat menjalani latihan bersama di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

“Pertama sekali, sebaik kami sampai di padang latihan hari ini, saya boleh nampak semua pemain terlalu teruja selepas tiga bulan kami tidak turun menjejak kaki ke padang, malah semua berikan komitmen sepenuhnya.

“Daripada segi SOP, kami semua langsung tidak ada sebarang masalah untuk mengikutinya terutama dalam aspek penjarakan sosial biarpun tidak dinafikan ada perasaan janggal pada awal hingga akhir latihan,” kata Muhammad Shahrom dalam kenyataan dikeluarkan MFL, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau bersyukur dapat menjalani latihan bersama rakan sepasukan di padang terbuka yang memberi kelebihan tersendiri berbanding latihan secara bersendirian di rumah.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Negeri Sembilan, Sazali Saidun menjelaskan latihan hari ini dipecahkan kepada tiga kumpulan yang melibatkan sembilan pemain bagi setiap kumpulan serta empat pegawai dalam tempoh 45 minit.

“Kami akan sedaya upaya memenuhi segala syarat ditetapkan pada latihan fasa satu ini kerana tidak mahu peluang sebegini hilang jika kami cuai kendalikan SOP, selain sama-sama bertanggungjawab agar penularan wabak COVID-19 ini boleh dibendung.

“Bagi latihan tanpa ada sentuhan badan, saya tidak boleh gunakan teknik latihan yang terlalu kompleks dan mungkin menumpukan kepada aspek teknikal dan fizikal. Namun, sekurang-kurangnya melalui kehadiran pemain di depan mata, saya boleh mengawal tahap intensiti setiap pemain serta mengikut kehendak saya berbanding sebelum ini,” katanya.

Negeri Sembilan menjadi pasukan pertama yang mendapat kebenaran menjalani latihan di padang terbuka oleh MFL sejak Majlis Keselamatan Negara memberi lampu hijau kepada semua pasukan Liga Malaysia berlatih di bawah SOP yang ditetapkan.

MFL meluluskan permohonan pasukan Negeri Sembilan untuk menjalani latihan selepas memenuhi empat kriteria ditetapkan pentadbir Liga Malaysia itu iaitu semua pasukan diwajibkan melakukan ujian swab, melantik pengawai penyelaras, menamakan pusat latihan dan mendaftar melalui pautan miti.gov.my (MITI), selain venue juga perlu melakukan proses nyahkuman atau sanitasi.

Pasukan Negeri Sembilan sebelum ini menjalani latihan di padang Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) di Rahang, namun memilih Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi sebagai gelanggang latihan bagi memenuhi SOP ditetapkan iaitu berlatih di venue tertutup.- BERNAMA