Jangkitan baharu Covid-19 bertambah lagi  hari ini dengan 26,534 kes dilaporkan.- Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Sebanyak 10 kes positif baru Covid-19  dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari tadi dan kesemua kes adalah penularan tempatan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Tujuh daripada 10 kes adalah warganegara Malaysia manakala 3 lagi bukan warganegara.

Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 dalam negara adalah 8,515.

“Bagi kes penularan di kalangan warganegara, empat kes adalah daripada Kluster Warga Emas Kuala Selangor iaitu kontak rapat kepada kes positif, satu kes daripada hasil ujian saringan pusat tahfiz, satu kes di Sarawak dan satu lagi di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media perkembangan terkini Covid-19 di Kementerian Kesihatan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, bagi kes jangkitan kalangan bukan warganegara, satu kes masing-masing di Wilayah Persekutuandi Akademi Imigresen Malaysia Port Dickson telah dilaporkan,

Kes-kes tersebut, katanya, merupakan Orang Kena Tahan (OKT) yang dipindahkan daripada Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil dan satu kes hasil saringan pra pembedahan di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah.

Perkembangan statistik terbaharu itu menjadikan jumlah terkini kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 521 kes.

Selain itu sebanyak 140 kes telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini menjadikan jumlah kumulatif adalah 7,873.

Dr. Noor Hisham turut memaklumkan tiada kematian akibat Covid-19 hari ini.

Sehingga kini tambah beliau empat kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala tidak ada pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan. – MalaysiaGazette