KUALA LUMPUR – Sebanyak 10 buah Politeknik Malaysia berjaya memperolehi pengiktirafan akreditasi daripada Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC).

Politeknik tersebut ialah:
1. Politeknik Ibrahim Sultan (PIS)
2. Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS)
3. Politeknik Ungku Omar (PUO)
4. Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA)
5. Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS)
6. Politeknik Kota Bharu (PKB)
7. Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS)
8. Politeknik Seberang Perai (PSP)
9. Politeknik Kuching Sarawak (PKS)
10.Politeknik Port Dickson (PPD)

Akreditasi ini merupakan pengiktirafan yang diberikan berdasarkan tujuh kriteria yang perlu dipenuhi dan dicapai oleh institusi iaitu Tadbir Urus dan Pengurusan, Pengajaran dan Pembelajaran, Sumber Manusia, Penyelidikan dan Pembangunan, Imej dan Kelestarian, Sumber Pendidikan dan Khidmat Sokongan Pelajar.

Lebih membanggakan lagi, sembilan Politeknik menduduki kedudukan 10 terbaik tangga teratas daripada 26 institusi negara anggota yang memperolehi Anugerah Emas, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad.

Pengiktirafan antarabangsa APACC ini membuktikan Politeknik Malaysia mampu berdaya saing sehingga ke peringkat antarabangsa dan juga sebagai penanda aras kecemerlangan institusi aliran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di rantau Asia Pasifik dari aspek kualiti, kebertanggungjawaban dan kepercayaan awam terhadap Politeknik Malaysia.

Menurut Noraini, pengiktirafan ini juga membuktikan Malaysia memiliki kelompok institusi yang berkualiti tinggi dan ia menyaksikan usaha mengarusperdana aliran TVET.

APACC merupakan badan akreditasi di bawah Colombo Plan Staff College (CPSC) yang beribu pejabat di Manila, Filipina. APACC yang ditubuhkan di Seoul, Korea Selatan pada Disember 2004 dianggotai oleh 17 buah negara rantau Asia Pasifik.

Prinsip asas inisiatif akreditasi dan persijilan APACC adalah untuk mengharmoni kualiti pendidikan TVET, mewujudkan standard setara dalam kemahiran yang diajari di institusi TVET, disamping memudahcara mobiliti pekerja di rantau Asia Pasifik.

Akreditasi APACC adalah selaras dengan kewujudan Komuniti Ekonomi ASEAN 2015 yang meliberalisasi pasaran serantau ASEAN.

Penganugerahan APACC ini juga merupakan akreditasi tunggal khusus untuk institusi TVET di rantau Asia Pasifik, kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast