Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti satu lagi kluster  Covid-19 iaitu Kluster Meninggal Di Rumah (MDR).

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster tersebut mempunyai kaitan dengan kematian  warga emas yang meninggal di Sabah pada 12 Jun 2020.

“Kes pertama kluster ini (iaitu kes ke-8403) adalah seorang warga emas yang telah meninggal dunia di rumah pada 12 Jun 2020 akibat komplikasi sakit jantung dan telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth.

“Saringan Covid-19 telah dijalankan dan beliau didapati positif. Sebelum ini beliau telah mendapat rawatan untuk penyakit jantung di Hospital Queen Elizabeth 2,” katanya pada sidang media perkembangan harian Covid-19 di sini.

Menurut beliau, setelah saringan kontak rapat yang dijalankan KKM mendapati dua kakitangan wad hospital berkenaan positif Covid-19.

“Sehingga hari ini seramai 63 individu termasuk 21 anggota kesihatan, 2 pesakit, 40 ahli keluarga dan rakan telah dikenal pasti sebagai kontak rapat dan disaring,” kata beliau sambil menambah punca jangkitan kluster ini masih disiasat.

Langkah pencegahan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar juga telah dijalankan di semua tempat yang dikenal pasti terdedah termasuklah di wad dan rumah warga emas tersebut.

Walaubagaimanapun beliau berkata, perkhidmatan Hospital Queen Elizabeth 2 tidak terjejas dan berterusan seperti biasa.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast