Nasrul Ali Hasan
Nasrul Ali Hasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) wajar mempertimbangkan dana khas untuk menyelesaikan bil elektrik yang tinggi.

Ketua Wira Putra Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah patut berbincang perkara itu dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan peruntukan tambahan bagi membantu meringankan beban rakyat.

Katanya, kenaikan bil mendadak bukan sahaja menekan golongan B40, malah kebanyakan pengguna dari kalangan M40 turut merasai bebanan itu.

“Kebanyakan yang terkesan ialah mereka yang kehilangan punca pendapatan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu, selain memikirkan sumber kewangan untuk perbelanjaan keluarga.

“Sebagai kerajaan prihatin, isu kenaikan bil elektrik perlu diberi perhatian sepenuhnya dengan mewujudkan inisiatif lain bagi membendung masalah seumpama ini.

“Kita tahu Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang telah menjana pendapatan baik kepada negara, menjadi mangsa keadaan dalam isu ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam. – MalaysiaGazette