Jeneral Tan Sri Affendi Buang

KUALA LUMPUR – Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang hari ini mengesahkan berita penahanan dua pegawai dan tiga anggota tenteranya yang terbabit dalam sindiket jenayah terancang penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri Johor.

Dalam kenyataan media terbaharu petang ini, beliau mengesahkan kesemua lima individu berkenaan yang ditahan polis adalah terdiri daripada pegawai dan anggota berlainan pangkat.

“Pengesahan ini adalah merujuk kepada kenyataan Ketua Polis Johor berkaitan penahanan 18 penguatkuasa melibatkan pegawai dan anggota dari PDRM dan ATM susulan tangkapan 40 suspek sindiket penyeludupan PATI pada 4 Jun lalu.

“Adalah ditegaskan bahawa ATM tidak sesekali akan berkompromi dengan mana-mana pegawai serta anggota yang terbabit di dalam melakukan apa jua kegiatan jenayah.

“Ketegasan ini adalah penting kerana ia mencemarkan imej ATM sebagai pasukan keselamatan yang bertanggungjawab dalam memastikan kedaulatan dan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Tegas beliau, ATM juga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk sebarang tindakan lanjut agar mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan sindiket penyeludupan PATI ini dapat ditangani keseluruhannya.

“Penahanan mereka ini juga menunjukkan keberkesanan Operasi Benteng di bawah pengawasan National Task Force (NTF).

“Ini membuktikan kesepaduan agensi-agensi penguatkuasaan dan keselamatan bukan sahaja dapat memperkukuhkan kawalan operasi persempadanan negara malah turut memperkasakan ketelusan dan nilai integriti terutama dalam kalangan
pegawai serta anggota ATM dalam melaksanakan apa jua tugas yang diamanahkan,” tegas beliau.-MalaysiaGazette