Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa. foto SYAFIQ AMBAK, 18 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Penguatkuasaan secara konsisten  akan dijalankan bagi membasmi warga asing daripada menjalankan perniagaan secara haram sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur dan Selayang.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan masih ada aktiviti melibatkan warga asing di sekitar pasar borong itu.

“Jangan buat sekali dan tidak buat dah. Kadang-kadang, masalah itu masalah kita sendiri,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Gelandangan Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pertanyaan wartawan yang ingin tahu sama ada masih terdapat perniagaan haram melibatkan warga asing di pasar borong berkenaan.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, setakat ini sudah hampir 200 premis haram milik warga asing disita pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dalam perkembangan lain, penjaja pasar malam perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan sekiranya mahu kembali berniaga.

Pematuhan itu perlu bersesuaian dengan normal baru dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang kini dilaksanakan.

Ujarnya, ruang untuk perbincangan dan menyalurkan maklum balas sentiasa terbuka untuk kebaikan bersama terutama jika penjaja berpendapat SOP ditetapkan terlalu ketat hingga menyukarkan mereka.

“Saya sudah berbincang dengan Datuk Seri Ismail Sabri (Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) dan ada maklum balas diperoleh.

“Kita sentiasa fikir cara terbaik dan apa dibuat sudah dibincangkan dengan mengambil kira aspek kesihatan serta lain-lain lagi.

“Rasa ketat, sukar, boleh bincang. They can always come back (Mereka sentiasa boleh datang semula kepada kita),” tambahnya. – MalaysiaGazette